Pelantikan wakil kerajaan negeri diharap beri impak lebih besar terhadap KAFA - Utusan Malaysia

Pelantikan wakil kerajaan negeri diharap beri impak lebih besar terhadap KAFA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Pelantikan dua wakil kerajaan negeri dalam staf kepimpinan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) diharap dapat memberi impak lebih besar kepada kedudukan kewangan persatuan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu (TRWKB), Mohd. Zainy Zain berkata, lantikan dua wakil tersebut boleh dijadikan sebagai penghubung antara kerajaan negeri dan KAFA bagi meringankan beban kewangan persatuan itu.

“Sekurang-kurangnya segala hutang dan levi yang dikenakan oleh kerajaan negeri dapat dikurangkan ataupun dihapuskan bagi menyelesaikan kemelut kewangan yang dihadapi oleh KAFA.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dua wakil kerajaan negeri itu juga perlu memainkan peranan bagi membantu KAFA mengisi kantung kewangan yang semakin kekeringan untuk menampung perbelanjaan pasukan musim 2019,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Sebelum ini, KAFA melantik anggota Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan sebagai naib presiden dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat sebagai Penasihat KAFA.

Mohd. Zainy berkata, penyokong tidak mahu lantikan itu hanya sekadar mengisi jawatan sebaliknya mahu dua wakil kerajaan negeri itu membantu KAFA mencari penaja untuk memulihkan kewangan serta meningkatkan prestasi pasukan Kelantan.

“Kami berharap akan ada banyak jalan penyelesaian yang boleh dibawa oleh Takiyuddin dan Wan Roslan,” katanya.

Untuk rekod, KAFA ketika ini menghadapi pelbagai  isu antaranya melibatkan masalah hutang, gagal mendapatkan lesen kebangsaan dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) serta berdepan dengan  kemelut kewangan. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN