KUBANG PASU 4 Nov. – Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berhadapan masalah kewangan yang serius boleh mengemukakan rayuan bagi mendapatkan pengecualian agar tidak dikenakan potongan gaji berjadual.
Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya akan mempertimbangkan rayuan peminjam yang sudah bekerja dengan pendapatan lebih RM1,000 namun tidak dapat melunaskan pinjaman kerana mempunyai komitmen yang tinggi.
“Bagaimanapun, rayuan banyak diterima bukanlah kerana masih tidak bekerja atau kerana perlu menjaga mak ayah yang sakit tetapi mereka merayu untuk membeli kereta. Jika alasan yang diberi munasabah, tentu kita pertimbangkan,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi santai bersama Pengerusi PTPTN di Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir (IPDM), Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.
Turur hadir Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani dan Pengarah IPDM, Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri.
Wan Saiful berkata, peminjam sepatutnya tidak mementingkan diri tetapi memikul peranan dan tanggungjawab membayar balik pinjaman agar individu lain dapat menperoleh faedah serta manfaat daripada pinjaman perbadanan terbabit.
“Jangan pula jadi peminjam yang tidak dapat membayar pinjaman PTPTN serendah RM90 sebulan sedangkan dia mampu membayar pinjaman kereta sehingga RM600 sebulan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











