Bas Kite beri khidmat percuma di Kemaman - Utusan Malaysia

Bas Kite beri khidmat percuma di Kemaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 4 Nov. – Penduduk di daerah ini akan kembali berpeluang menikmati perkhidmatan bas secara percuma mulai esok yang disediakan oleh kerajaan negeri melalui Cas Ligas Sdn.Bhd. Buat permulaan, sebuah bas dibekalkan bagi memberi perkhidmatan setiap hari mulai pukul 8 pagi hingga 7 malam meliputi laluan tertentu dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai dan DUN Air Putih.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Sosial negeri, Hanafiah Mat  melancarkan operasi Bas Kite di bawah kendalian anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) itu di bandar Cukai hari ini.

Yang turut  hadir, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dan Pengerusi Cas Ligas Sdn.Bhd., Zakaria Dagang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebelum ini perkhidmatan sedemikian telah diusahakan Pejabat Barisan Nasional (BN) Parlimen Kemaman namun ditamatkan pada 10 Mei lalu setelah setelah BN tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Menurut Hanafiah, daerah Kemaman merupakan yang pertama menikmati perkhidmatan ini yang disediakan oleh kerajaan negeri  bagi membantu terutama golongan  berpendapatan rendah menjimatkan kos pengangkutan bagi urusan harian sekali gus mengurangkan beban sara hidup mereka.

“Sekiranya permintaan semakin meningkat, perkhidmatan ini akan diperluaskan pula ke dua lagi  DUN di Kemaman iaitu Kemasik dan Kijal,’ katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan upacara itu.

 Menurut beliau, kerajaan negeri juga berhasrat untuk memperluaskan perkhidmatan bas percuma di daerah lain secara berperingkat agar lebih ramai menikmati kemudahan tersebut.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN