Masih terasa asam pedas ikan pari yang cukup rasa masam, manis dan masin, ikan patin masak tempoyak yang masam manis bagaikan makan di Temerloh, Pahang ditambah dengan petai jeruk dan budu yang dibancuh dengan tempoyak. Dipadankan pula dengan minuman air timun yang diperah dengan limau kasturi yang menyegarkan sambil duduk bersimpuh di atas tikar mengkuang.
Semuanya hasil resipi ibu pemilik Restoran Warung Makcik Kiah, Datuk Paduka Syed Isa Syed Alwi yang pernah membuka warung di hadapan rumahnya di antara simpang Jalan Kampung Tengah dan Jalan Darat Makbar, Kuantan, Pahang.
Ketika itu warung kepunyaan emak Syed Isa, Rokiah sentiasa penuh dari pagi sehingga senja dan paling terharu, emaknya sentiasa melayan pelanggan walaupun mereka datang pukul 3 pagi untuk makan.
Walaupun baru dibuka awal tahun lalu, Warung Makcik Kiah sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan walaupun terletak di Sri Petaling, kawasan padat dan komersial serta dikelilingi dengan restoran Jepun, Korea dan Cina.
Pengurus Restoran Warung Makcik Kiah, Norkhairizal Rusli berkata, restoran ini menterjemahkan kasih sayang pemiliknya Syed Isa kepada arwah emaknya, Rokiah selain menghargai warisan resipinya dan berkongsi semula dengan generasi baharu yang gemarkan menu kampung.
“Malah agak mengejutkan apabila ada antara pelanggan yang memberitahu beberapa menu di sini pernah dihidangkan oleh mak ayah mereka di kampung,” katanya semasa ditemui di Seri Petaling, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Norkhairizal menambah, pelanggan sentiasa memuji sambal merah dan sambal hijau hasil resipi Makcik Kiah yang dihidangkan malah ada yang menambah nasi.
“Biasanya sambal ini kita hidangkan dengan set ayam goreng makcik Kiah (MCK), ikan tilapia, telur dadar serta tauhu dan tempe. Semuanya dihidangkan dengan air timun diperah air limau kasturi yang menyegarkan,” katanya.
Selain itu pelanggan boleh merasa mi calong di mana cara penyediaan dan rasanya sama seperti di warung di Kampung Tengah, Kuantan suatu masa dahulu.
“Cara penyediaan mi calong agak rumit kerana hampir semua bahan utama dibuat sendiri atau home made.
“Mi calong menggunakan isi ikan segar yang direbus dan dilumatkan supaya hancur dan halus. Selepas dijadikan bebola dan direbus sekali lagi supaya tidak lerai untuk dimakan bersama sup dan sos yang dibuat sendiri daripada menu asli makcik Kiah,” katanya.
Melihat kepada persekitaran lokasi yang dimonopoli pelbagai restoran antarabangsa, Warung Makcik Kiah tidak mahu dilihat hebat atau bersaing dengan sesiapa malah restoran ini mahu dikenali kerana kesederhanaan selain mengembalikan kenangan di kampung.
“Restoran yang boleh menampung seramai 80 orang pelanggan pada satu-satu masa menerima tempahan untuk pelbagai majlis termasuk perjumpaan keluarga, re-union sekolah, hari jadi, acara korporat atau pertunangan,” katanya.
Bagi pelanggan yang sentiasa sibuk, Norkhairizal berkata, mereka boleh memesan makanan melalui agen penghantaran seperti Food Panda, Honestbee atau GrabFood.











