Perak terus pertahan Piala Razak - Utusan Malaysia

Perak terus pertahan Piala Razak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Nov. – Selepas skuad bola sepak mereka memenangi Piala Malaysia menerusi penalti penentuan, Perak mengulangi gaya sama untuk mempertahankan gelaran juara Kejohanan Hoki Piala Tun Razak dengan menghampakan Terengganu 3-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kemenangan itu membolehkan skuad Mohd. Nizam Mohd. Hashim, yang terikat 2-2 dalam masa permainan sebenar, mengaut hadiah wang tunai RM10,000 sebagai juara edisi ke-56 manakala Terengganu terpaksa berpuas hati dengan beroleh RM7,000.

Ini kali kelima Perak memenangi Piala Razak selepas bangkit dua kali untuk menya­makan kedudukan menerusi Shazrul Imran Nazli dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-15 dan 47.

Gol-gol penalti penentuan Perak dijaringkan oleh Azrai yang turut dinobat Pemain Terbaik perlawanan akhir, Mohamad Ashran Hamsani dan Hafifi Hafiz Hanafi manakala Terengganu hanya membalas menerusi Muhd. Najmi Farizal Jazlan.

Kekalahan ini pastinya amat mengecewakan bagi Terengganu setelah mendahului menerusi dua jaringan padang oleh Ameer Aiman Mohd. Saberi dan Syamiru Aiman Bidin pada minit ke-14 dan 22 masa sebenar.

Kuala Lumpur pula me­rampas gelaran juara wanita daripada Selangor apabila menumpaskan juara bertahan itu 2-1 dengan dua jaringan Norazlin Sumantri pada minit keempat dan 29 di gelanggang sama.

Selangor pula membalas menerusi jaringan Liyana Aqilah Mohd. Sepawi pada minit kesembilan dan usaha mereka untuk bangkit dipa­damkan oleh keutuhan Kuala Lumpur bertahan.

Selain gelaran dan piala, Kuala Lumpur turut membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 manakala Sela­ngor berpuas hati dengan hanya RM3,000 selaku naib juara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN