ROME 3 Okt. – Pemain terbaik dunia lima kali, Cristiano Ronaldo bakal melonjakkan Juventus sebagai pencabar utama untuk memenangi Liga Juara-Juara musim ini, kata legenda Portugal, Luis Figo.
Ronaldo mengharungi permulaan baik sejak menyertai Juventus dengan nilai 88 juta pound (RM475.53 juta) dari Real Madrid, musim ini dengan menjaringkan tujuh gol dan membuat empat umpanan menerusi 10 penampilannya di Serie A musim ini.
Ketajaman Ronaldo membantu Juventus menghampiri rekod permulaan sempurna dalam kempen domestik selepas kelab itu mencatat sembilan kemenangan dan sekali seri.
Meskipun dominasi Juventus di Itali telah wujud sebelum ketibaan Ronaldo tetapi bintang Portugal itu membawa kelab gergasi berkenaan menghampiri gelaran Eropah selepas tewas dua kali di pentas final dalam tempoh lima tahun.
Kapten Portugal itu bagaimanapun, belum meledak sebarang gol di pentas Eropah setakat ini, namun Figo tetap merasakan dia ‘pemain terbaik dunia’ dan berpendapat Juventus kini pencabar utama.
“Juventus mempunyai lebih pilihan sekarang. Cristiano memastikan kualiti dan gol kerana dia adalah pemenang, terbaik di dunia.
“Juventus mempunyai peluang yang lebih untuk memenangi Liga Juara-Juara musim ini,” katanya. – AGENSI











