KUANTAN – Mayat lelaki yang ditemui dalam kebakaran di sebuah rumah di Taman Pandan Indah di sini semalam dipercayai dibunuh sebelum bilik tidurnya dibakar.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asistan Komisioner Mohd. Noor Yusof Ali berkata, identiti mangsa disahkan sebagai M. Suhairi A Wahab, 35, yang merupakan seorang kerani di Pejabat Tanah dan Galian di sini.
Katanya, mangsa yang masih bujang mempunyai kesan luka di belakang kepala dan muka, selain terdapat kesan terbakar pada bahagian kiri badan.
“Mayat mangsa ditemukan di atas katil di bilik utama dengan timbunan pakaian terbakar di atasnya dan disyaki terdapat unsur jenayah dalam kejadian itu.
“Hasil bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) hari ini, mendapati terdapat kemungkinan mangsa dipukul dengan objek keras,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – Bernama











