KOTA BHARU 3 Nov. – Lebih 150 badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara sudah bersedia bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi menghadapi musim tengkujuh tahun ini.
Pengarah Bahagian Pembangunan Komuniti dan Sosial NADMA, Hussain Moh berkata, penglibatan NGO perlu kerana bilangan kakitangan dan pegawai agensi penyelamat yang terhad untuk mengurus bantuan bencana namun ia perlu diselaraskan.
Beliau berkata, penyelarasan penting supaya gerak kerja dan bantuan yang disampaikan tidak tertumpu di sesuatu tempat sahaja seperti pengalaman semasa banjir besar 2014 apabila bantuan dilonggokkan sehingga berlaku pembaziran.
“Kita akan menempatkan pegawai di Pusat Kawalan Operasi Bencana (POKB) peringkat negeri dan daerah yang akan menyelaraskan pergerakan NGO mengikut kemahiran dan keperluan.
“NGO yang terlibat dibahagikan kepada tujuh kluster iaitu kesihatan, komunikasi, keperluan asas makanan,
lojistik, pendidikan, infrastruktur dan sukarelawan pasca,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bengkel Kesiapsiagaan dan Penyelarasan Bencana Monsun Timur Laut (MTL) 2018 di Dewan Murni, Pusat Rancangan Kokurikulum, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.
Program anjuran Pertubuhan Gabungan Bantuan Bencana NGO Malaysia (BBNGO) itu telah dirasmikan oleh Setiausaha Politik Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Romli Ishak.
Kira-kira 200 peserta mewakili 40 NGO di negeri ini hadir dalam program yang bertujuan memperkukuh jalinan kerjasama antara NGO, sukarelawan dan agensi kerajaan semasa bencana. – UTUSAN ONLINE











