KOTA KINABALU – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berpuas hati dengan kehadiran ahli yang keluar mengundi pada pemilihan PKR negeri Sabah hari ini.
Menurut Nurul Izzah merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, hasil tinjauan di pusat pemilihan cabang Sepanggar, Tuaran dan Kota Kinabalu dekat sini kira-kira 20 peratus ahli selesai menjalankan tanggungjawab setakat pukul 11 pagi tadi.
“Jumlah (ahli mengundi) ini dijangka meningkat sebelum proses pemilihan dijadualkan tamat pada pukul 3 petang.
“Diharapkan para ahli keluar mengundi kerana undian mereka membantu dalam menentukan pucuk pimpinan PKR peringkat pusat memandangkan jumlah keahlian negeri ini kedua tertinggi selepas Selangor,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau Pusat Pemilihan Cabang Kota Kinabalu di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Christina Liew yang bertanding mempertahankan jawatan Ketua Cabang Kota Kinabalu.
Direkodkan, fasa pertama pemilihan PKR Sabah yang mempunyai seramai 145,639 ahli bermula hari ini di 12 daripada 25 cabang negeri ini.
Antaranya Cabang Kota Kinabalu, Kota Marudu, Tuaran, Sepanggar, Beaufort, Sipitang, Keningau, Libaran, Batu Sapi, Sandakan, Tawau dan Kalabakan.
Baki 13 cabang seperti Kudat, Kota Belud, Putatan, Penampang, Kimanis, Ranau, Beluran, Tenom, Pensiangan, Kinabatangan, Silam, Semporna dan Papar pula akan berlangsung esok. – K! ONLINE











