KUALA LUMPUR 3 Nov. – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berharap kos penjimatan untuk projek Landasan Berkembar Lembah Klang 2 (KVDT) dapat digunakan untuk menambah baik sistem keretapi antara bandar.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rani Hisham Samsudin berkata langkah itu penting bagi memastikan perkhidmatan yang baik diberikan kepada pengguna.
Beliau berkata pihaknya yakin kerajaan mempunyai perancangan untuk menggunakan hasil penjimatan itu untuk menaik taraf dan menambah baik sistem pengangkutan awam yang lain, termasuk perkhidmatan di bawah KTMB.
“Kerja-kerja menaik taraf ini perlu dilaksanakan sebagai langkah untuk memastikan semua perkhidmatan rel dapat bergerak dengan lancar dan tidak akan lagi berhadapan dengan kegagalan, kegelinciran mahupun kelewatan atau pembatalan perkhidmatan pada masa hadapan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menerusi perbentangan Belanjawan 2019 mengumumkan projek KVDT bernilai RM5.2 bilion yang dianugerahkan melalui kaedah rundingan terus sebelum pilihan raya umum yang lalu, akan ditender semula dan dijangka memberi penjimatan kos besar.
Projek itu melibatkan landasan sepanjang 110 kilometer dari Kuala Lumpur ke Klang, Salak Selatan ke Seremban dan Simpang Port Klang ke Pelabuhan Klang.
Sementara itu, Rani Hisham turut mencadangkan inisiatif pas bulanan tanpa had perjalanan bernilai RM100 kepada perkhidmatan tren dan bas Rapid KL diperluaskan kepada tren KTMB terutamanya perkhidmatan komuter.
“Selain Transit Aliran Ringan (LRT), Monorail, Transit Aliran Massa (MRT) dan bas, perkhidmatan komuter turut digunakan oleh kebanyakan warga kota terutamanya dalam perjalanan di Lembah Klang.
“Kami berharap inisiatif yang sama turut dapat diberikan kepada pengguna komuter bagi menggalakkan warga kota memanfaatkan sistem pengangkutan awam seterusnya mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.
Dalam pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan memperuntukkan RM240 juta untuk memperkenalkan pas bulanan tanpa had itu.
Selain itu, Lim berkata pas bulanan RM50 tanpa had perjalanan bagi bas RapidKL sahaja juga disediakan. – BERNAMA











