Pasir Puteh 3 Nov. – Kampung Tembila dan Kampung Gong Chapa, di sini dilanda banjir kilat malam tadi selepas hujan lebat sejak selama empat jam namun dilaporkan surut pagi ini.
Pegawai Bomba dan Penyelamat daerah, Azhar Elmi Mustofar berkata, air surut bermula pukul 6 pagi ini dan setakat ini tiada penduduk di dua kampung tersebut dipindahkan.
Menurutnya, paras air yang memenuhi kawasan itu sebelum ini adalah sekitar 0.1 hingga 0.5 meter disebabkan hujan lebat selama lebih empat jam.
“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut memantau perkembangan ini dan yakin keadaan air akan terus surut sekiranya hujan tidak berlanjutan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azhar berkata, pihaknya sudah mengemukakan cadangan jangka pendek iaitu perlu tindakan pengaliran air ke sungai dan parit-parit utama.
Katanya, hanya 10 buah rumah dikenal pasti berada di kawasan yang rendah dan berpotensi dipindahkan jika keadaan bertambah buruk.
“Setakat ini jalan utama dari Pasir Puteh ke Semerak di kawasan ini masih boleh dilalui namun ada jalan alternatif yang lebih selamat iaitu Jalan Pasir Puteh – Tok Bali,” katanya. – UTUSAN ONLINE











