KUALA LUMPUR 2 Nov. – Pengenalan duti eksais terhadap dua kategori minuman bergula yang dikilangkan dianggap sebagai kejayaan perjuangan 20 tahun Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA).
Presidennya, Datuk Dr. Jacob George berkata, pengenalan duti eksais itu disambut baik pihaknya yang sudah tentu membawa kesan positif dalam aspek kesihatan pengguna.
“Aspek yang paling saya gemari dalam Belanjawan 2019 ini ialah apabila kerajaan membentangkan cadangan untuk duti eksais minuman bergula dikenakan.
“Lebih 20 tahun CASSA minta supaya minuman yang mengandungi banyak gula diberikan penekanan, apabila duti eksais ini dikenakan tentunya amat baik dari segi aspek kesihatan pengguna,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kerajaan menerusi pembentangan Belanjawan 2019 hari ini bercadang memperkenalkan duti eksais terhadap dua kategori minuman bergula yang dikilangkan dalam bentuk pembungkusan sedia diminum.
Sementara itu, Dr. Jacob menyifatkan Belanjawan 2019 sebagai satu belanjawan mesra rakyat.
“Belanjawan 2019 dilihat berjaya merangkumi tujuh kategori utama melibatkan pengguna iaitu dengan menyentuh aspek kos sara hidup, pengangkutan, perumahan, alam sekitar dan ekosistem, kesihatan, pendidikan dan sumber manusia,’’ katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamad Idris berkata, CAP menzahirkan rasa gembira apabila suara mereka selepas 30 tahun akhirnya didengari kerajaan Persekutuan.
Katanya, langkah kerajaan memperkenalkan duti eksais terhadap dua kategori minuman bergula adalah tujuan mengurangkan pengambilan kadar gula tinggi dan menggalakkan rakyat menukar gaya hidup dengan mengambil makanan yang lebih sihat.
Mohamad Idris seterusnya memberitahu, CAP juga akan memboikot semua makanan bergula bersempena sambutan Hari Diabetes Sedunia pada Ahad ini. – BERNAMA











