KUALA TERENGGANU 2 Nov. – Seramai 20,864 golongan muda di negeri ini bakal menikmati tawaran mendapatkan lesen motosikal secara percuma, mulai tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tawaran yang terkandung dalam manifesto Pas negeri dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu itu akan diumumkan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam pembentangan Belanjawan 2019 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akhir bulan ini.
“Keseluruhan 32 DUN mendapat agihan jumlah pemohon yang sama rata iaitu seramai 625 belia berusia 16 tahun ke atas yang layak untuk menerima bantuan tersebut.
“Bagi mengelakkan berlaku ketirisan dan dimonopoli pihak tidak bertanggungjawab, kerajaan negeri akan mengagihkan peruntukan sama rata kepada 12 institut memandu di seluruh negeri untuk melaksanakan kursus peraturan jalan raya serta undang-undang kepada golongan berkenaan,” katanya selepas lawatan kerja di medan selera dan Pasar Kampung Tiong, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed dan Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Islam kepada Menteri Besar, Dr. G.K. Balachandran.
Terdahulu, kerajaan negeri bertemu dengan pelbagai pihak termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pemilik institut memandu dan Jabatan Pendidikan negeri berkaitan perkara itu bagi menjayakan perancangan serta perangkaan kerja.
Wan Sukairi berkata, tumpuan utama pelaksanaan janji itu adalah bagi mengurangkan bebanan keluarga yang sebelum ini terpaksa membayar RM350 untuk mendapatkan lesen di samping mengurangkan kadar kemalangan akibat gejala rempit.











