Jeneral tiga bintang Iban pertama bersara - Utusan Malaysia

Jeneral tiga bintang Iban pertama bersara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA SAMARAHAN 2 Nov. – Anak Iban yang mencatat sejarah apabila menjadi orang pertama dalam kalangan etnik itu mencapai status Jeneral tiga bintang dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Stephen Mundaw akhirnya bersara selepas 41 tahun berkhidmat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebelum meninggalkan pasukan, bekas Panglima Medan Timur itu sempat menitip pesanan kepada semua anggota Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat agar meneruskan perjuangan untuk berkhidmat dengan penuh komitmen, dedikasi dan integriti.

Menurut Stephen, prinsip tersebut telah dipegang beliau sepanjang 41 tahun berada dalam pasukan dengan memberi perkhidmatan penuh jujur, ikhlas dan ketaatan tidak ber­belah-bahagi.

“Apa saja perkara dibuat perlu fokus dan sebaik-baiknya, bukannya menjalankan tugas seperti melepaskan batuk di tangga.

“Itulah prinsip dipegang se­panjang perkhidmatan saya yang boleh dijadikan panduan untuk anak-anak muda meneruskan perkhidmatan,” katanya selepas Majlis Perbarisan Serah Terima Tugas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat di Padang Kawad Kem Muara Tuang di sini hari ini.

Panglima Tentera Darat, Je­neral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi menyaksikan upacara serah terima tugas antara Stephen dengan Lef­tenan Jeneral Datuk Zamrose Mohd. Zain sebagai Panglima Medan Timur yang ketiga.

Sementara itu Ahmad Hasbullah memberitahu, Tentera Darat kehilangan seorang pegawai kanan yang baik dan telah berkhidmat cemerlang kepada ketumbukan dan negara.

Katanya, persaraan itu suatu lumrah yang mana mereka yang berkhidmat akan ada penghujung.

“Selama 41 tahun, empat bulan dan 23 hari tempoh perkhid­matan Stephen merupakan masa yang panjang.

“Pelbagai peristiwa ditempuhi seperti menentang komunis membuatkan beliau penuh pengalaman dan memegang beberapa jawatan penting staf dan kepimpinan,” jelasnya.

Beliau berkata, bagi membalas jasa Stephen, maka warga Pemerintahan Medan Timur khususnya perlu berkhidmat dengan cemerlang agar meneruskan legasi baik yang di­tinggalkan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN