ISU semasa terutama kisah masyarakat membabitkan kekejaman terhadap wanita dan kanak-kanak serta eksploitasi terhadap mereka yang lemah dan dalam keadaan terdesak sering menyentap jiwa gadis berusia 22 tahun ini.
Nurul Harina Nadiah Mat Lazim @ Mahasan,22 yang sedang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan Geografi menyifatkan ramai mengambil kesempatan, sekali gus memperlihatkan rasa kemanusiaan yang semakin menipis pada masa kini.

Katanya, masyarakat boleh menyumbang sesuatu dan dengan kesedaran itu, beliau turut serta dalam program membincangkan masalah sosial.
“Saya berasa amat bertuah kerana terpilih menyertai satu program antarabangsa bersama 29 peserta dari seluruh negara anjuran Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Kami membincangkan usaha menangani isu berkenaan termasuk memperluaskan kesedaran umum.
“Program WAGGGS Advicacy yang berlangsung di Seremban selama tiga hari itu amat menarik kerana memberi fokus untuk menghentikan kekejaman terhadap kanak-kanak perempuan dan perkahwinan bawah umur,” ujar gadis kelahiran Bukit Payong, Marang, Terengganu itu.
Lebih mesra disapa Ena, beliau kurang bersetuju perkahwinan bawah umur kerana alasan desakan hidup.
Gadis periang itu berpendapat perkahwinan bawah umur akan menutup peluang kanak-kanak perempuan menikmati zaman kanak-kanak dan remaja, selain terpaksa berhenti sekolah, sekali gus tidak berpeluang mencapai cita-cita.
Bekas Pandu Puteri Raja yang bercita-cita untuk menjadi pegawai alam sekitar itu berkata, umur paling sesuai untuk seseorang perempuan berkahwin adalah 20 tahun.
“Pada usia itu, mereka sudah matang dan mampu berfikir sendiri untuk mempunyai kerjaya atau mengurus rumah tangga,” katanya.
Nurul Harina turut menarik perhatian soal penderaan kanak-kanak sama ada dilakukan keluarga sendiri atau penjaga sehingga mangsa menanggung derita dalam senyap tanpa diketahui umum, malah sering terlewat untuk diselamatkan.
“Jiran dan persekitaran penting untuk membantu atau melaporkan ke balai polis berdekatan jika berlaku kejadian tersebut. Ini penting supaya kes berkenaan dapat dibendung,” ujar anak gadis kepada pasangan pendidik itu.











