“Jas, ada benda yang aku fikirkan sejak kebelakangan ini. Kau nak tahu?”
“Tapi kau tak akan suka.”
“Sejujurnya aku penat dengan hidup aku sekarang. Mungkin mati adalah jalan yang terbaik untuk melupakan sakit.”
“Bunyinya macam gila,kan?”
“Ya. Okey..,okey. I know. Goodnight Jas.”
Aplikasi WhatsApp ditutup.
Aku melangkah masuk sambil menutup lembut pintu kaca balkoni. Menapak tertib ke bilik tidur, duduk dan perlahan-lahan berbaring di atas katil. Sejujurnya aku mengharapkan balasan daripada dia walaupun aku tahu segala text yang dihantar kepada dia, tidak akan dibalas. Tetapi cukuplah untuk itu. Cukup membuatkan hati aku lega dan sesak di dada terungkai satu persatu.
Aku tidak pernah meluahkan masalah kepada sesiapa pun. Lagi-lagi hal personal. Kadang-kadang aku rasa orang lain tidak akan faham walau sekeras mana aku cuba untuk membuatkan mereka rasa apa yang aku rasa. Mereka selalunya menghukum, bukannya cuba untuk memahami. Aku lebih memilih untuk diam dan simpan segalanya seorang diri. Ada juga di antara mereka melabelkan aku sebagai seorang manusia yang ego. Ya.. betul, aku ego. Aku tidak akan sesekali menitiskan air mata di hadapan orang yang salah.
Aku menyelit telefon bimbit di bawah bantal, kemudian menarik selimut menutupi tubuh yang kedinginan. Bantal biru berbentuk ikan paus aku peluk, itu adalah hadiah daripada Jasmine semasa ulang tahun kelahiranku. Aku pejamkan mata, tarik nafas dan hembus perlahan. Aplikasi WhatsApp dibuka kembali, jari-jariku ligat menekan tombol abjad pada skrin telefon untuk kali terakhir pada hari ini.
“Jas, I miss you. Can you hear me?”
Tidak juga bertanda biru. Tidak dibaca.
*****
Pedal minyak kupijak cermat dan kereta bergerak perlahan menyusuri jalan-jalan yang membuatkan aku rasa selamat dan keluar dari dunia yang menyesakkan. Kereta ini adalah satu ruang bergerak yang bebas kupandu ke mana sahaja dan menghidupkan mimpi-mimpi yang kusimpan di dalam beberapa buah lagu yang sering diputar-ulang di corong radio.
Pemandangan klise seperti barisan neon jalan yang berbaris, bangunan kedai yang masih lengang di awal pagi serta muzik blues yang berkumandang di radio menghasilkan perasaan rindu ketika kereta ini diisi oleh Jasmine. Terkadang aku tertanya bagaimana sesuatu yang tidak bernyawa bisa memberi senyum dan tenang, sedangkan yang bernyawa sering memberi kematian dan kekecewaan.
Aku berhentikan kereta di bahu jalan,kemudian keluarkan telefon bimbit dari poket seluar, halakan fokus kamera telefon bimbit ke atas dan ‘klik’. Aku tahu Jasmine sangat sukakan langit dan selalu abadikan mereka dalam beberapa keping foto. Aku buka aplikasi WhatsApp,kemudian tekan pada nama Jas. Beberapa keping foto yang kuambil tadi dimuat naik lantas tombol send ditekan.
“Jas…, cuba kau lihat. Awan putih yang berbentuk gula kapas itu, hari ini dia di posisi aku berdiri sekarang. Jika esok dia berubah arah,kau rasa dia akan kembali ke sini lagi atau terus hilang dibawa angin?”
“Kalau dia datang ke sini lagi, pasti bentuknya sudah berubah, kan?.”
“Jas…, begitu juga dengan perasaan aku terhadap kau sekarang. Masih ada dan tidak akan hilang, cuma sudah berubah bentuk dan ruang. Tengok langit itu…, Jasmine, gemawan itu selalu menunggu kedatangan kau. Cuma sekali Jas, at least the chance to them to say goodbye.”
Segala pesanan ringkas yang tidak bertanda biru itu selamat sampai ke dalam peti masuk WhatsApp Jasmine. Ya, cukuplah untuk itu. Hanya dengan dia aku berkongsi segalanya. Walaupun tidak dibalas atau dibaca. Aku tutup penghawa dingin, turunkan cermin kereta separuh dan biarkan angin membawa rinduku kepada Jasmine.
Jasmine, aku akan bawa kereta ini hingga ke hujung dunia. Hanya kalau kau ada.
*****
Disember,2016.
Aku memandang jauh dari atas balkoni menampakkan konkrit kota yang masih terang seperti siang, namun langit sudah bertukar gelap dan mengantungkan bulan bintang. Sisa bauan hujan yang turun 30 minit yang lalu menujah ruang pernafasanku, lalu mengalirkan listrik tenang lantas menyejukkan hati.
Jasmine bergerak bangun dari kerusi, kemudian ke sinki untuk membasuh cawannya. Sementara gelas aku masih berisi Milo panas. Berdikit-dikit aku mencicip air tangan Jasmine yang tiada siapapun berjaya meniru rasa yang dia berikan untuk aku. Aku meletakkan gelas di atas meja bulat bermaterial kaca, kemudian menyoal, “Jas, what is love?”
Bibirnya mengukirkan senyuman menampakkan lesung pipit di pipi kirinya,mungkin soalan aku kedengaran klise baginya. Dia menyisir helaian rambut yang jatuh menutup dahi dengan jari, kemudian melarikan jari itu ke dagu seolah berfikir.
“Emm, okey. For me, love is when two damage people trying to heal each other. But, why you asking me this kind of question, honey?”
Aku tersenyum mendengar jawapan daripadanya dan memakai bahasa wajah untuk mengungkap kata setuju, kemudian membalas, “Nice words Jas. Nah, nothing”. Aku menarik selimut yang melurut jatuh ke lantai kembali menutupi kaki yang kesejukan.
*****
Kereta meluncur laju ke destinasi yang ingin dituju. Hari ini, aku menyarung baju kegemaran Jasmine yang dia beli ketika gaji pertamanya. Hampir tujuh bulan dia pergi meninggalkan aku dan ini adalah kali pertama aku pergi berjumpa dengannya. Aku rindu, tetapi aku terlalu takut untuk berhadapan dengan realiti yang menyakitkan. Tetapi hari ini, aku memilih untuk merasa sakit daripada hidup menyalahkan takdir.
Setelah dua jam perjalanan, tempat yang dituju telah pun sampai. Aku turun dari kereta, kemudian berjalan lemah menuju ke arah Jasmine.
“Assalammualaikum, Jasmine.” Aku memandangnya sayu. Aku tahu dia pasti menjawab salam aku tadi, cuma tidak kudengar.
“Jasmine, aku rindu kau.” Kata aku separuh berbisik.
“Hampir tujuh bulan kau pergi. Maaf…, baru hari ini aku dapat kekuatan untuk berhadapan dengan kau.”
“Aku keliru, mungkin aku rindu atau takut atau sedih atau marah saat kau pergi tanpa bicara sedikit pun. Ya.., aku marah sebab kau biarkan aku keseorangan menangung kesedihan ini, sedangkan kau di sini pasti berbahagia dengan doa-doa orang yang kau sayang.” Air mata mengalir laju, tidak dapat lagi kutahan.
“Kau pesan lepas ni, aku kena kuat. Kau cakap…, aku boleh walaupun aku rasa aku tak mampu. Aku tak boleh menangis macam selalu dan aku harus berani untuk sesuatu yang aku mahu, sebab kau tak akan selamanya dengan aku, betulkan?”
“Aku tak pernah menyangka itu adalah pesanan terakhir kau sebelum kau pergi tinggalkan aku.Jas…,maafkan aku Jas. Aku tak mampu tunaikan segala permintaan kau. Permintaan supaya aku menjadi seorang yang kuat. Aku sudah terbiasa Jas. Kebiasaan hari-hari aku adalah kau di sisi.” Nafas aku berombak laju,selaju air mata yang berguguran jatuh ke pipi.
“Jas.., hari ni, aku menerima keadaan ini dengan hati yang terbuka. Maafkan aku kerana membiarkan kau menunggu. Aku sayang kau Jasmine, hingga saatnya nanti, aku juga akan berumah di sini.”Dalam terketar menahan rindu dan tangis, aku cuba untuk menghadiahkan senyum untuk Jasmine.
Gulungan tikar dibuka lalu dihampar di atas tanah. Kasut dibuka, lalu aku duduk menghadap tenang pusara milik Jasmine. Dengan lafaz Bismillah, bacaan surah Yasin dimulakan. “Jasmine, aku doakan kau berbahagia di sana. Aku melepaskan kau pergi sepenuhnya, aku reda.”
*****
Surat untuk Jasmine
Sungguh dari titik permulaan ayat ini, air mata aku mengalir tanpa aku sedar, hati aku pilu saat mengaturkan bait-bait kata untuk kau sahabat. Ini bukan karya perpisahan. Ini adalah karya buat disimpan. Bukan sedih, bukan kecewa…, cuma terlalu sukar untuk aku gambarkan indahnya persahabatan kita, hanya melalui susunan aksara. Terima kasih tak mungkin cukup. Tak pernah. Aku cuma seorang sahabat yang biasa, hanya mencatat-tulis tentang kita di atas kertas kumal dengan patah kata sederhana seorang insan bertulis tangan.
Dan bila nanti, aku dah tua,kau dah tua. Kata-kata aku ini mungkin akan menjadi sebuah cerita yang bakal hilang. Jika aku dah lupa kisah kita, simpan tulisan ini, semoga aku tahu, aku tak keseorangan. Aku sangat bahagia saat aku muda kerana aku mempunyai seorang sahabat yang sayangkan aku sampai ke syurga. Jika nanti aku merasa kesepian, aku merasa keseorangan, letakkan tangan aku di dada dan katakan, “di sini masih ada saya.”
Untuk segala cebisan kenangan kita; kisahkan padaku, Jasmine.











