KUALA LUMPUR 2 Nov. – Pasaran tempatan dan kewangan kembali menunjukkan momentum yang lebih positif ketika kerajaan membentangkan Belanjawan 2019 setelah berdepan prestasi lemah dalam tempoh dua minggu ini.
Petang ini, pasaran tempatan yang ditutup mengukuh 6.95 mata kepada 1,713.87 mata yang menyaksikan 744 kaunter untung, 204 kaunter rugi dan 305 kaunter tidak berubah.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.16 bilion unit bernilai RM2.52 bilion berbanding 2.18 bilion unit bernilai RM1.66 bilion yang dicatatkan semalam.
Bursa Malaysia kembali berlegar berada pada paras 1,700 mata pada petang Rabu setelah meningkat 23.33 mata atau 1.38 peratus kepada 1,709.27 mata.
Indeks FBM KLCI jatuh di bawah paras 1,700 mata pada 23 Oktober lalu, susut 24.87 mata kepada 1,697.60 mata sejajar dengan pasaran global yang lemah.
Sentimen pasaran dalam tempoh ini berada dalam keadaan tidak menentu dengan ringgit mula menyusut sejak 19 Oktober lalu selepas kerajaan mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 4.5 hingga 5.5 peratus tahun ini sehingga 2020 berbanding sasaran awal lima hingga peratus.
Pada pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) juga, kerajaan membatalkan perancangan untuk mencapai bajet seimbang menjelang 2020 yang memberi kesan kepada sentimen pasaran memandangkan pelabur masih menunggu sama ada kerajaan akan meneruskan langkah pengukuhan fiskal.
Hari ini mencatat sejarah apabila belanjawan Persekutuan pertama dibentangkan di Parlimen oleh sebuah kerajaan baharu sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam pembentangan itu berkata, Belanjawan 2019 akan menumpukan kepada tiga fokus dengan 12 strategi utama bagi mengembalikan kedudukan ekonomi Malaysia sebagai Harimau Asia. Fokus itu ialah melaksanakan reformasi institusi, memastikan kesejahteraan rakyat dan memupuk budaya keusahawanan.
Menurutnya, kerajaan mengunjurkan defisit fiskal pada 2018 mencapai 3.7 peratus manakala untuk tiga tahun akan datang, pentadbiran Pakatan Harapan komited dalam melaksanakan langkah konsolidasi fiskal untuk mengurangkan defisit kepada 3.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019, tiga peratus pada 2020 dan 2.8 peratus pada 2021. Dalam jangka sederhana, defisit dijangka terus berkurangan kepada sekitar dua peratus.
Bagaimanapun, Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidik Pasaran FXTM Global, Jameel Ahmad berkata, pilihan raya pertengahan penggal di AS akan memberi ancaman kepada pergerakan mata wang pasaran ekonomi baharu muncul termasuk ringgit yang dijangka mengalami turun naik sepanjang minggu hadapan.
“Kita tidak boleh menjangkakan apakah yang akan berlaku kepada politik hari ini tetapi peluang bagi ringgit untuk meraih manfaat daripada dolar AS dalam tempoh itu akan berlaku jika pelabur menjual lebih banyak dolar AS semasa pilihan raya tersebut.











