WASHINGTON 2 Nov. – Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman didakwa menyifatkan wartawan, Jamal Khashoggi sebagai anggota kumpulan pengganas.
Mohammed dilaporkan berkata demikian dalam satu perbualan telefon dengan White House selepas Jamal dilaporkan hilang, iaitu sebelum Arab Saudi mengaku lelaki itu telah dibunuh.
Dalam perbualan telefon dengan menantu lelaki Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump iaitu Jared Kushner dan Penasihat Keselamatan Kebangsaan, John Bolton, beliau mendakwa Jamal adalah anggota sebuah organisasi pengganas antarabangsa.
Lapor BBC, Arab Saudi bagaimanapun menafikan dakwaan yang dicetuskan oleh Washington Post dan New York Times.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan keluarga Jamal dalam Washington Post, mereka menolak dakwaan Mohammed dan Jamal sebelum ini telah berkali-kali menafikan sebarang pembabitan dalam kumpulan tersebut.
“Jamal bukanlah seorang lelaki yang berbahaya. Untuk menuduh dia sebegitu, adalah tidak masuk akal,” jelas kenyataan berkenaan.
Jamal, seorang rakyat Arab Saudi yang bekerja sebagai kolumnis dengan Washington Post, merupakan pengkritik kerajaan Riyadh.
Dia dilaporkan dibunuh di dalam bangunan Konsulat Arab Saudi pada 2 Oktober lalu tetapi mayatnya masih belum ditemukan sehingga hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo menyatakan sekatan terhadap individu yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan Jamal mungkin mengambil masa beberapa minggu lagi berikutan kurangnya bukti kukuh.
“Kami sedang meneliti untuk mengenakan sekatan terhadap beberapa individu yang dikenal pasti terbabit,” jelasnya.
Sementara itu, seorang pegawai tertinggi Turki, Yasin Aktay berkata, beliau percaya mayat Jamal dilarutkan dalam asid setelah dipotong-potong.
Beliau berkata, ‘ini adalah kesimpulan yang paling logik’ untuk menghapuskan bukti tanpa dikesan. – AFP/AGENSI











