SEBERANG PERAI – Seorang remaja perempuan merupakan antara 12 pelesit rempit yang diberkas polis selepas disyaki terlibat dengan kegiatan lumba haram di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth dekat sini kelmarin.
Kesemua pelesit rempit berusia antara 15 hingga 26 tahun itu diberkas dalam operasi selama 10 jam bermula pukul 10 malam oleh Skuad 42 dan polis Seberang Perai Utara (SPU).
Difahamkan mereka yang ditahan kebanyakannya datang dari Kulim, Kedah dan beberapa tempat di negeri ini untuk melakukan aksi berbahaya di laluan yang popular dalam kalangan pelesit rempit.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya bertindak menahan pelesit rempit itu selepas mendapati mereka melakukan kesalahan jalan raya dengan menguji kelajuan motosikal masing-masing sambil melakukan pelbagai aksi berbahaya.











