ALOR SETAR – Pelaksanaan projek Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Kota Perdana di Bukit Kayu Hitam dekat sini menerusi peruntukan awal sebanyak RM25 juta bakal memberikan limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadiah Saad berkata, peruntukan yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam Bajet 2019 hari ini itu amat dinanti-nantikan rakyat.
“SBEZ merupakan satu projek mega yang mana ekonomi di kawasan sempadan Malaysia-Thailand ini akan berkembang pesat seterusnya penduduk akan mendapat manfaatnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, projek berkenaan akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk.
“Ia secara tidak langsung akan menggamit orang muda untuk bekerja di Bukit Kayu Hitam,” ujarnya.
Tambahnya, pelaksaan projek itu juga bakal memberikan wajah baharu kepada kawasan sempadan tersebut.
“Bukit Kayu Hitam bakal menjadi antara kawasan tumpuan pelancong dalam dan luar negara selepas ini,” katanya.
Guan Eng dalam pembentangan Bajet 2019 menyatakan kerajaan komited memacu pembangunan dan pertumbuhan projek SBEZ sebagai pintu gerbang strategik bagi aktiviti perdagangan dua hala di antara Malaysia dan Thailand.
Bagi pelaksanaan peringkat awal projek tersebut yang merangkumi pembangunan truck depot, peruntukan sebanyak RM25 juta akan disediakan. – K! ONLINE











