NEW DELHI 1 Nov. – Seorang wanita India berusia 96 tahun mencatat rekod apabila memperoleh markah tertinggi iaitu 98 daripada 100 markah keseluruhan dalam peperiksaan celik huruf di negeri Kerala di selatan negara ini.
Xinhua melaporkan, misi celik huruf dibuat kerajaan tempatan itu merupakan peperiksaan bagi pelbagai gred untuk rakyat di negeri terbabit yang tidak dapat bersekolah.
Selepas keputusan diumumkan semalam, Karthyayani Amma menerima ucapan tahniah daripada Ketua Menteri Kerala, Pinarayi Vijayan, hari ini.
Karthyayani, yang berasal dari Cheeped di daerah Alapuzha di utara ibu kota Kerala, Thiruvananthapuram, tidak pernah bersekolah.
Dia dikatakan mendapat galakan daripada anak perempuannya, yang baru-baru ini menamatkan kursus celik huruf.
“Saya melihat kanak-kanak belajar dan mendapat inspirasi darinya. Saya tidak belajar apabila saya perlu berbuat demikian namun saya gembira kerana saya mendapat peluang untuk berbuat demikian,” kata Karthyayani.
Ujian celik huruf bersamaan dengan peperiksaan Kelas 4 dan Karthyayani berkata, dia berharap untuk lulus Kelas 10.











