FRANKFURT 1 Nov – Volkswagen AG (VW) dan Ford Motor Co. dilaporkan sedang berbincang untuk bersama-sama meneroka peluang membangunkan kereta tanpa pemandu dan kenderaan elektrik dalam perikatan strategik yang luas bertujuan menjimatkan perbelanjaan berbilion dolar daripada kedua-dua syarikat.
Menurut sumber yang tahu dengan perkara tersebut, pembuat kereta Jerman dan Amerika Syarikat (AS) itu dijangka memberikan maklumat tentang kemajuan perbincangan tersebut sebelum akhir tahun.
“Memorandum persefahaman kami dengan VW merangkumi perbincangan mengenai potensi kerjasama di beberapa kawasan. Masih terlalu awal untuk berkongsi maklumat tambahan pada masa ini,” kata Jurucakap Ford, Alan Hall dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Syarikat pembuat kenderaan di seluruh dunia kini sedang membincangkan untuk bekerjasama dan berkongsi kos pembangunan kenderaan tanpa pemandu dan elektrik. Perkongsian teknologi kenderaan tanpa pemandu berbeza mengikut rantau.
Bulan lalu Honda Motor Co. mengumumkan pelaburan AS$2.75 bilion (RM11.50 bilion) dan memiliki kepentingan dalam unit kenderaan tanpa pemandu General Motors Co., Cruise Automation bagi bersama-sama membangunkan model kenderaan tersebut untuk digunakan oleh syarikat perkhidmatan kenderaan global.
VW dan Ford berada di bawah tekanan untuk melancarkan lebih banyak kenderaan elektrik di Eropah, yang mana peraturan pelepasan sedang diperketatkan berikutan skandal pencemaran diesel Volkswagen.
Ketua Pegawai Kewangan Volkswagen, Frank Witter pada Selasa berkata, pembuat kereta itu terbuka kepada pakatan yang lebih serius dengan syarikat luar, terutamanya dalam bidang pemanduan automatik.
Witter berkata, perkongsian platform kereta elektrik MEB dengan Ford secara teorinya adalah mungkin, walaupun VW sedang menumpukan pada teknologi kenderaan elektrik dalam kalangan jenamanya sendiri.
Para pegawai VW telah berulang kali menegaskan bahawa satu-satunya cara untuk membuat kereta elektrik sebagai produk pasaran massa adalah melalui skala ekonomi untuk menjadikannya murah atau lebih murah daripada kenderaan diesel.
VW Group melabur 34 bilion euro (RM161 bilion) bagi e-mobiliti dan teknologi tanpa pemandu menjelang 2022 serta merancang untuk membuat dua juta hingga tiga juta kereta elektrik sepenuhnya pada 2025. – REUTERS











