Kapten kapal saksi ekor JT610 tenggelam - Utusan Malaysia

Kapten kapal saksi ekor JT610 tenggelam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA 1 Nov. – Kapten kapal AS Jaya 11 dikenali sebagai Rahmat mengaku melihat ekor pesawat Lion Air, JT610 tenggelam selepas terhempas di perairan Tanjung Karawang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam video yang dimuat naik oleh TvOneNews di YouTube hari ini, Rahmat ketika itu sedang dalam perjalanan dari Kalimantan Tengah ke Marunda, Cilincing, Jakarta Utara.

Katanya seperti dipetik oleh Tribunnews, dia pada mulanya melihat benda seperti ekor pesawat berwarna putih dan merah ‘terjunam’ ke dalam laut.

Namun, dia tidak melihat ba­dan pesawat berkenaan.

“Saya tidak melihat langsung badan pesawat, yang saya lihat adalah ekor pesawat itu tenggelam ke dalam laut,” jelasnya.

Tambah Rahmat, selepas itu dia melihat air laut memercik ke atas disusuli dengan ombak be­sar dan letupan.

Katanya, dia tidak men­­dengar sebarang bunyi aneh yang dicetuskan oleh pesawat terbabit kerana enjin kapalnya turut mengeluarkan bunyi bising.

Dalam perkembangan berkaitan, jenazah salah seorang mangsa, Jannatun Cyntia Dewi dikebumikan di kampung halamannya di Sidiarjo, wilayah Jawa Timur pagi ini.

Menurut Pegawai Komunika­si Strategik Korporat Lion Air, Da­nang Mandala Prihantoro, jenazah Jannatun Cyntia diterbangkan ke Surabaya.

Beliau memberitahu, pegawai Lion Air menyerahkan sen­diri jenazah tersebut kepada keluarganya.

“Lion Air turut memberikan pampasan kepada semua keluarga mangsa termasuk gratuiti berjumlah 25 juta rupiah (RM6,911) dan ganti rugi sebanyak 1.25 bi­lion rupiah (RM350,000) setiap penumpang,” katanya.

Sementara itu, seorang rakan kepada pramugari pelatih JT610 yang terkorban dalam nahas tersebut, Trianingsih Putri Van Ende mendedahkan wanita tersebut pernah meluahkan hasrat untuk berhenti bekerja selepas tidak dibayar gaji selama tujuh bulan.

Rakan kepada Trianingsih Put­ri iaitu Shely Che berkata, dia sempat bertemu dengan wanita berkenaan tiga hari sebelum kejadian tersebut.

“Dia baru pulang dari kerja pada pukul 8.30 malam tetapi dia tetap mahu berjumpa de­ngan saya,” kata Shely.

Pada pertemuan terakhir itu, Shely banyak mendengar cerita dan rungutan daripada Tria­ningsih Putri selama menjadi pramugari pelatih di Lion Air.

“Dia merungut beberapa per­kara termasuk tidak dibayar gaji selama tujuh bulan, mungkin kerana dia masih dalam latihan. Tetapi makanan dan pengangkutan pun tidak ditanggung. Tria­ningsih Putri juga sempat berkata, dia sudah tidak larat be­kerja di situ dan mahu berhenti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini