JAKARTA 1 Nov. – Indonesia bercadang menaikkan kadar tambang kapal terbang yang ditetapkan oleh syarikat penerbangan tambang murah berikutan nahas pesawat Lion Air, JT610, kata Menteri Pengangkutan, Budi Karya Sumadi.
Menurut beliau, Presiden Joko Widodo juga mengarahkan kajian terhadap peraturan keselamatan penerbangan.
“Berdasarkan peraturan negara dan luar negara, nahas ini tidak sepatutnya berlaku tetapi oleh kerana telah berlaku maka kami perlu menilai semula peraturan ini,” katanya.
Sementara itu, portal Tribun News melaporkan, pasukan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) dari Amerika Syarikat (AS) dan Boeing telah melawat bilik gerakan mencari dan menyelamat (SAR) Lion Air PK-LOP di Dermaga JICT 2, Tanjung Priok di sini.
Anggota pasukan tersebut tiba pada kira-kira pukul 12.10 tengah hari waktu tempatan dengan diiringi anggota Jawatankuasa Nasional Keselamatan Pengangkutan (KNKT).
Mereka kemudian dilihat memasuki ruang informasi Badan SAR Nasional (Basarnas) untuk mendapatkan maklumat tentang lokasi kejadian di perairan Karawang.
Beberapa jam kemudian mereka dilihat menuju lokasi pengumpulan serpihan pesawat yang berjaya diperoleh.
Ketua KNKT, Soerjanto berkata, pasukan NTSB dan Boeing tiba untuk membantu siasatan tragedi berkenaan.
“Bantuan yang diberi adalah sejajar dengan polisi pengeluar pesawat yang memerlukan NTSB melakukan siasatan dan mereka di sini untuk membantu KNKT,” katanya. – REUTERS/AGENSI











