JOHOR BAHRU 1 Nov. – Di sebalik kehidupan yang hiruk-pikuk, masih terdapat kawasan di bandar raya ini yang menjanjikan ketenangan bagi warganya.
Antara lokasi pilihan warga kota yang ingin mencari kedamaian adalah di Hutan Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) di Taman Mutiara Rini, Skudai di sini.
Ini kerana hutan bandar seluas 25 hektar itu menyediakan pelbagai aktiviti dan kemudahan untuk seisi keluarga beriadah terutamanya pada waktu petang dan hujung minggu.
Tarikan utama hutan bandar ini pastinya pada komponen landskap termasuk himpunan pelbagai jenis pokok hutan tropika (arboretum) yang mempunyai lebih 200 spesies tanaman berbeza dengan 3,700 pokok yang telah membesar sejak kawasan tersebut mula dibuka pada 2009.
Antara pokok yang ada seperti asam gelugur, keranji, tampoi, tongkat ali, jelutong, kempas, keruing bulu, bachang, johor, gelam, giam jantan, ipoh dan gaharu serta taman bunga dan herba yang diwujudkan turut menjadi pelengkap bagi keindahan alam semula jadi di hutan bandar ini.
Komponen lain yang terdapat di hutan bandar ini adalah wakaf, bangunan serbaguna, rumah tradisional Melayu di atas tasik, menara pandang, gimnasium, gelanggang futsal serta litar kereta kawalan jauh.
Taman permainan kanak-kanak dengan keluasan 0.4 hektar dan boleh menampung kira-kira 100 kanak-kanak pada satu-satu masa antara tarikan utama ibu bapa yang membawa anak-anak ke sini.
Tempat riadah itu juga mempunyai Dataran Sekapur Sirih yang boleh digunakan untuk acara rasmi dan keramaian seperti sambutan Hari Kemerdekaan.
Pembangunan landskap yang diterapkan di dataran itu mengetengahkan konsep gambir dan tepak sirih yang merupakan elemen penting dalam adat Melayu ketika meraikan sesuatu upacara keramaian seperti meminang dan adat ketika bertandang.
Kewujudan 24 rumah limas di hutan bandar ini menyerikan lagi hutan tersebut dan boleh digunakan untuk ruangan seminar, kursus, bengkel dan keramaian.
Malah, konsep Tandas Herba yang diterapkan di hutan bandar ini telah diberi pengiktirafan apabila mendapat Anugerah Tandas Bersih peringkat kebangsaan pada 2014.











