Anugerah Skrin 2018 (ASK 2018) yang berlangsung pada pukul 9 malam ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menyaksikan sebanyak 12 buah drama bersaing merebut anugerah Drama Terbaik.
Calon-calon bagi kategori Drama Terbaik adalah 4K siaran TV1, Abang Kandung (TV3), Aku Nazmi (TV3), Cucu Atuk (TV3), Dosa Perempuan (TV3), Fatonah Azali (TV3), Kasih Seorang Ayah (TV3), Luyak (TV1), Nisaa (TV2), Pendosa Ingin Ke Syurga (TV3), Qalbu (TV3) dan Tulus Cinta (TV3).
Kesemua 12 buah karya yang tercalon tersebut disiarkan di televisyen sejak Julai 2017 sehingga Julai 2018. Bagaimanapun, daripada jumlah yang layak bertanding, hanya tujuh buah drama disifatan mempunyai peluang besar untuk mata merebut anugerah kategori Drama Terbaik.
Selain faktor jalan cerita yang memberi impak kepada penonton, lakonan berkesan barisan pelakon juga menyumbang peluang besar kemenangan sesebuah drama.
Tujuh buah drama yang memberi saingan sengit dan berjaya melarutkan emosi penonton termasuk Aku Nazmi, Kasih Seorang Ayah, Qalbu, Fatonah Azali, Pendosa Ingin Ke Syurga, Nisaa dan Luyak.
Menariknya juga, ASK kali ini diwarnai penceritaan golongan orang kelainan upaya (OKU) yang sarat emosi. Bukan sahaja mendekati realiti dan kemanusiaan, naskhah sedemikian juga memberi cabaran besar buat besar para pelakon.
Telefilem Aku Nazmi misalnya mengisahkan kejayaan kerjaya seorang usahawan online pemuda kelainan upaya dan percintaannya dengan seorang gadis bisu. Pelakon Jay Izwazir membawa wataknya sebagai Nazmi dengan baik begitu juga Ayda Jebat sebagai gadis bisu.
Dalam drama berkenaan, Ayda membuktikan bahawa dia seorang pelakon yang versatil. Biarpun tanpa dialog, Ayda berjaya menyampaikan ‘dialog’ menggunakan bahasa tubuh dan mimik muka tanpa cacat.
Aktres Nad Zainal juga tidak kurang hebatnya dalam drama Fatonah Azali lakonannya bersama Redza Rosli, Raja Azura, Sharifah Sakinah, Mustaqim Bahadon dan Zaibo. Dalam tangannya, Nad dilihat berjaya menghidupkan watak gadis autisme bernama Fatonah yang mengundang simpati ramai.
Penghayatan
Lakonannya memberi kesan bukan sahaja kepada penonton, tetapi juga menyentuh hati ibu bapa yang mempunyai anak autisme sehingga ramai yang menitiskan air mata pada pengakhiran drama tersebut.
Drama Luyak lakonan hebat dramatis Shakila Khoriri sebagai anak autisme yang selalu didera dan dirantai ibunya lakonan Zarina Zainuddin juga memberi saingan sengit.
Shakila tidak disangkal lagi berjaya menghayati watak sebagai gadis autisme dengan baik. Realitinya, meskipun merupakan anak istimewa, Shakila sebagai Hidayah turut menjadi mangsa rogol penjenayah yang mengambil kesempatan terhadapnya.
Bukan sekadar hiburan, drama Fatonah Azali dan Luyak dilihat berjaya membuka mata segelintir pihak yang masih ‘buta’ dan ‘pekak’ berhubung isu autisme.
Atas alasan sebegitu, tidak mustahil Shakila meluru sebagai finalis anugerah Pelakon Wanita Terbaik Drama bersama-sama dengan Nad dan Ayda, sekali gus karya yang diwakili pulang anugerah Drama Terbaik.
Sementara itu, drama lakonan hero-hero senior seperti Pendosa Ingin Ke Syurga lakonan Datuk Rosyam Nor, Qalbu (Faizal Hussein) dan Kasih Seorang Ayah (Eman Manan) sama hebat dari segi jalan cerita serta lakonan.
Pengalaman dan pencapaian terdahulu sahaja sebenarnya cukup untuk menolak ketiga-tiga aktor hebat itu menjulang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Drama, bagaimanapun ASK 2018 memperlihatkan kelebihan buat aktor Jay Iswazir apabila dua buah drama lakonannya Aku Nazmi dan Nisaa dirasakan akan berentak ke final.
Secara keseluruhan ASK 2018 yang memasuki edisi ke-22 mempertaruhkan 30 kategori merangkumi 14 kategori drama dam tujuh untuk filem, manakala sembilan kategori merangkumi karya bukan drama dan teknikal.
ASK 2018 mempertandingkan karya yang disiarkan di semua stesen milik Media Prima iaitu TV3, ntv7, TV9 dan 8TV. Stesen televisyen lain yang turut serta adalah Astro, Bernama, RTM dan TV Al-Hijrah.











