KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memasukkan seksyen baharu di bawah Akta SPRM yang berhubung pengisytiharan harta milik ahli Parlimen dan menteri.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, seksyen baharu tersebut dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada April depan.
Katanya, menerusi seksyen baharu tersebut SPRM akan boleh mengenakan tindakan terhadap ahli Parlimen dan menteri yang gagal mengisytiharkan harta mereka kerana ia akan diklasifikasikan sebagai satu kesalahan.
“Buat masa ini SPRM tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengenakan tindakan terhadap mana-mana anggota Kabinet yang tidak mengisytiharkan harta mereka.
“Namun begitu, selepas seksyen baharu ini dimasukkan, mereka akan dikenakan tindakan jika tidak mengisytiharkan harta kerana pada waktu itu ia sudah menjadi kewajipan mereka,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di Dewan Perdana Mestika, Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.
Mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed antara yang menerima Anugerah CeIO Kehormat bersama-sama 158 pegawai integriti yang menerima pentauliahan. – K! ONLINE











