KUALA LUMPUR 1 Nov. – Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali akan bermain biola mengiringi persembahan dua penyanyi ternama tanah air, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M. Nasir.
Isteri Perdana Menteri itu akan mempamerkan bakat beliau pada Konsert Duo Legenda, di Panggung Sari, Istana Budaya pada 22 Disember ini.
Konsert yang pertama kali menggandingkan Jamal dan M. Nasir itu diadakan selama empat malam berturut-turut yang bermula pada 20 Disember.
Menurut Jamal, Siti Hasmah akan bermain biola untuk lagu Gubahanku, dendangannya bersama M. Nasir yang didendangkan secara berduet.
“Persembahan bersama Siti Hasmah adalah pada malam ketiga yang turut dihadiri oleh tetamu-tetamu kenamaan lain.
“Konsert Duo Legenda ini mengambil masa selama dua jam dan turut sama menjayakan konsert ini adalah pendatang baharu Cassidy Anderson,” katanya selepas sidang akhbar, di sini sebentar tadi.
Tambahnya, persembahan bersama Siti Hasmah diadakan bagi mengutip dana untuk membantu golongan kurang bernasib baik. – UTUSAN ONLINE











