KUALA LUMPUR 1 Nov. – Pelawak dan pelakon tanah air, Pian Cecupak perlu segera jalani rawatan jantung dan memerlukan bantuan kewangan yang dianggarkan antara RM35,000 hingga RM40,000.
Pian atau nama sebenarnya, Mohd. Rafik Abdul Rahman, 48, yang baharu keluar dari hospital pada 23 Oktober lalu memberitahu, kondisi jantungnya hanya berfungsi 20 peratus sahaja.
“Selama enam hari didalam wad dan selama tiga hari saya diberitahu yang saya tidak sedarkan diri.
“Apabila sedar, saya dapati banyak wayar berselirat dan rasa amat rimas tetapi tentunya wayar-wayar itu tidak boleh dicabut begitu sahaja,” kata Pian.
Beliau berkata demikian pada majlis sidang akhbar yang diadakan di Restoran Tanjung Puteri, Sri Hartamas.
Sidang akhbar yang diadakan pada hari ini adalah bagi menguar-uarkan tentang majlis amal makan malam untuk mengutip derma bagi rawatan jantung Pian.
Pian yang dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) seawal 3 pagi, 17 Oktober lalu kerana sesak nafas berkata, atas nasihat doktor, secepat mungkin beliau perlu membuat rawatan angiogram yang kos perubatannya ialah RM5,000.
Sementara itu, pada majlis yang sama, salah seorang ahli jawatankuasa yang menganjurkan majlis amal makan malam, Sheeda Hamid berkata, tarikh untuk majlis itu pada mulanya dijadualkan pada 29 November ini.
“Kalau boleh kita nak buat majlis amal makan malam tu pada tarikh yang dinyatakan tetapi kalau terpaksa diubah ke 15 Disember, kita terpaksa ubah.
“Majlis amal makan malam akan dijayakan oleh artis-artis tempatan dan kita jual meja
“Kita anggarkan 100 meja dan meja VIP kita jual murah sahaja, RM2,000 manakala meja biasa, RM750,” jelasnya.
Ahli jawatankuasa penganjur yang menggerakkan majlis amal makan malam itu adalah di bawah Koperasi Tabung Amanah Menjana Kualiti (TAMK). – UTUSAN ONLINE











