KUALA LUMPUR 1 Nov. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof menafikan Kerajaan Pakatan Harapan mengenepi dan membelakangkan Islam sebagai agama Persekutuan di negara ini.
“Terdapat suara-suara sumbang kononnya Pakatan Harapan mengenepikan undang-undang syariah, memilih Pakatan Harapan bermakna mengundang malapetaka kepada Islam sehinggakan konsep Rahmatan Lil Alamin yang kita perkenalkan kononnya lesen untuk amalan liberal di negara ini.
“Sedangkan sejak lapan bulan Pakatan Harapan di persada kuasa, kita mempunyai usaha yang giat tanpa henti untuk mempertahankan Islam dan biarlah tindakan kami yang membicarakan bagi menutup suara-suara sumbang tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Perundangan Jenayah Syariah 2018 anjuran Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (Japens WP) di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi, di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Mukhyuddin Ibrahim, Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan, Abdul Razak Mat Nayan dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.
Mujahid berkata, pihaknya berjaya menubuhkan satu jawatankuasa peringkat tertinggi bagi hal ehwal agama Islam yang sebelum ini tidak pernah diwujudkan.
“Jawatankuasa ini menyediakan laporan lengkap sebagai panduan bagi memperkukuhkan reformasi institusi Islam di negara ini termasuk bidang dan perundangan Syariah di negara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











