LUMUT – Seorang murid perempuan berusia 10 tahun dari Sekolah Kebangsaan Seri Manjung di sini mendakwa dia nyaris menjadi mangsa culik dua lelaki ketika dalam perjalanan balik dari sekolahnya ke rumah semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asistan Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang menaiki basikal dan melalui Taman Fasa 2I Seri Manjung itu secara tiba-tiba didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira.
“Kereta berwarna biru gelap itu telah berhenti di sebelah mangsa sebelum menarik tangan untuk membawa masuk ke dalam kereta.
“Bagaimanapun, mangsa terjatuh dari basikal ketika ditarik, seterusnya melarikan diri ke rumah pengasuhnya sebelum memaklumkan kejadian tersebut kepada ibunya dan membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Muhammad Hanif, soal siasat mendapati mangsa tidak mengenali kedua-dua suspek.
“Mangsa juga menyatakan tiada saksi awam yang melihat kejadian tersebut kerana ia berlaku dengan pantas.
“Tiada sebarang kecederaan dialami mangsa dan polis sedang mengesan kedua-dua suspek tersebut,” katanya.
Katanya, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada televisyen litar tertutup dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai motif kejadian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 361 Kanun Keseksaaan kerana cuba melarikan orang,” katanya. – K! ONLINE











