KOTA BHARU 1 Nov. – Pelaksanaan perintah berkurung kepada remaja pada waktu malam bagi mengatasi masalah gejala sosial adalah langkah yang baik dan tidak bercanggah dengan kehendak agama.

Mufti Kelantan, Datuk Mohammad Shukri Mohammad bersetuju supaya peraturan ketat begitu dilaksanakan untuk membendung gejala sosial memandangkan ibu bapa kini pada hakikatnya tidak mampu mengawal anak-anak mereka.
Beliau berkata, tidak timbul soal menyekat kebebasan kerana Islam memberi hak kepada kerajaan untuk melaksanakan sebarang peraturan demi kemaslahatan rakyat.
“Kita bersetuju kajian teliti dibuat malah kalau dilaksanakan ia adalah lebih baik. Remaja tidak perlu pun keluar malam, ia sebenarnya amat berkaitan dengan penjagaan daripada ibu bapa, kalau ibu bapa kuat maka mereka boleh kawal tetapi sekarang ibu bapa pun rasa ada pihak perlu bantu.
“Kalau kerajaan boleh mengadakan peraturan yang lebih ketat ia adalah satu langkah yang baik, peraturan ini akan membantu ibu bapa, kalau sudah terlepas dari kawalan ibu bapa maka sepatutnya kerajaan adakan peraturan untuk kawal remaja kita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas cadangan Kerajaan Negeri Kelantan untuk mengkaji pelaksanaan perintah berkurung ke atas remaja pada waktu malam bagi mengatasi masalah gejala sosial di negeri ini.
Semalam Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Mumtaz Md. Nawi berkata, sekurang-kurangnya tujuh negara sudah menjadikan perintah berkurung ke atas remaja dan kanak-kanak sebahagian daripada peruntukan undang-undang.
“Kebanyakan negara menetapkan remaja berusia 16 tahun ke bawah tidak boleh keluar rumah melebihi pukul 10 malam manakala bagi remaja bawah 18 tahun pula larangan adalah pada waktu melebihi pukul 12 malam,” katanya semasa berucap menggulung perbahasan Belanjawan 2019 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini semalam. UTUSAN ONLINE











