KUALA LUMPUR 1 Nov. – Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil mengingatkan bahawa kegagalan akan terjadi apabila terlalu mengamalkan dasar ’tertutup’ dan hanya memfokuskan kepada isu ’dalaman’ semata-mata.
Demikianlah halnya titah baginda dengan para graduan, lihatlah dunia ini dari ’kaca mata seekor burung’ yang bersifat luas dan terbuka dan janganlah menjadi seperti ‘katak di bawah tempurung’ – hanya hidup dalam dunia sendiri
Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat menghadiri dan seterusnya menyempurnakan ’Sidang Kedua Bagi Istiadat Konvokesyen Ke-13 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Tahun 2018’ yang diadakan di Dewan Ilmu UniMAP, Pauh Putra baru-baru ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin dan Naib Canselor, Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal.
Baginda yang juga merangkap Tuanku Pro Canselor UniMAP turut menambah bahawa transformasi atau perubahan merupakan satu aturan dalam hidup dan merupakan perkara yang amat penting apabila kita ingin mencapai sesuatu kemajuan dan kecemerlangan.
“Secara ringkasnya transformasi merupakan satu penghijrahan atau peralihan iaitu melakukan perubahan daripada satu keadaan kepada satu keadaan yang lebih baik.
“Kita tidak berupaya menghentikan perubahan tersebut, tetapi apa yang dapat kita lakukan adalah bagaimana mengendalikan dan mempersiapkan diri kita sebelum sesuatu transformasi atau perubahan itu terjadi agar tidak berdepan dengan kegagalan,” titah baginda. Untuk sidang ke dua konvokesyen tersebut seramai 629 orang Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) menerima ijazah masing-masing daripada Tuanku Lailatul Shahreen. Mereka adalah para graduan daripada fakulti-fakulti Kejuruteraan Bahan (79), Metalurgi (61), Polimer (59), Mekatronik (104), Mekanikal (101), Elektronik Bioperubatan (92), Pembuatan (69) dan Rekabentuk Produk (64). – UTUSAN ONLINE











