[VIDEO] Siapa dalang melagakan Ella dan Jojie - Utusan Malaysia

[VIDEO] Siapa dalang melagakan Ella dan Jojie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Hubungan di antara Ratu Rock negara, Ella dan kakaknya, Jojie Aminuddin khabarnya renggang sehingga ada yang menyatakan, kedua-duanya bergaduh.

Kerengganan hubungan Ella dan Jojie disebabkan oleh mulut-mulut sekeliling yang cuba melaga-lagakan mereka.

Jojie yang juga dikenali ramai, berkata, beliau mengurusakan karier seni Ella selama 32 tahun sebelum masing-masing berumahtangga dan membawa haluan sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun kata Jojie, sebelum mereka mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga, mereka telah berbincang dan membuat perancangan masing-masing.

“Selama 32 tahun saya menguruskan Ella dan dalam tempoh itu, saya mengakui banyak menolak tawaran seperti berlakon kerana tumpuan saya adalah kepada Ella.

“Dia adik saya dan air yang dicincang tidak akan putus. Maka apabila saya tidak lagi menguruskan Ella, saya mencadangkan kepadanya untuk mencari beberapa orang untuk menggantikan tempat saya,” kata Jojie kepada wartawan Utusan Online.

Jojie menafikan hubungannya yang agak renggang dengan adiknya itu disebabkan kehadiran suami masing-masing.

“Bukan kerana pasangan kami yang menjadikan kami tidak bersama tetapi masing-masing ada keluarga untuk diuruskan. Itu yang menyebabkan kami, saya dan Ella tidak lagi kelihatan bersama di media-media sosial.

“Bagaimanapun, saya tidak menafikan ada yang mungkin tidak berpuas hati dengan saya dan Ella. Maka dia ingin melaga-lagakan saya dengan Ella,” kata Jojie lagi.

Jojie juga berkata, pengurusan baharu Ella perlu mempelajari selok belok menguruskan Ella termasuk berhadapan dengan peminat dan pengamal media.

Ini kerana beliau sendiri menerima maklum balas berhubung rasa tidak puas tentang cara pengurus menguruskan Ella.

“Pengurus yang bertindak menguruskan Ella ini mungkin orang baharu dan dia mesti belajar untuk berhadapan dengan orang-orang lama. Dia boleh sahaja bertanya kepada saya macam mana cara nak menjadi pengurus Ella,” katanya.

Jojie juga mengakui, merindui saat-saat yang diluangkan bersama Ella ketika adiknya itu memulakan langkah sebagai penyanyi.

“Andaikata saya dapat putarkan masa kembali ke zaman itu, saya rindukan Ella yang berusia 17 tahun. Dia manja dan dia pemalu,” kata Jojie mengakhiri perbualan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini