Belanjawan 2019: Melaka harap peruntukan ditambah - Utusan Malaysia

Belanjawan 2019: Melaka harap peruntukan ditambah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 1 Nov. – Kerajaan Pusat diharap dapat mengumumkan peruntukan berjumlah lebih daripada RM500 juta kepada Melaka pada Belanjawan 2019 yang pertama kali dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) esok bagi membantu meningkatkan perkembangan ekonomi dan pembangunan negeri ini.

Memuatkan artikel berkaitan…
 

Walaupun tiada angka khusus yang ditetapkan namun kerajaan negeri berharap jumlah peruntukan dalam Belanjawan 2019 untuk Melaka itu melebihi 10 peratus daripada nilai cukai tahunan yang diberikan kepada kerajaan Pusat iaitu kira-kira RM5 bilion.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, berdasarkan peruntukan sebanyak lebih RM400 juta yang telah diluluskan untuk negeri ini pada pembentangan belanjawan tahun lalu, sudah pasti kerajaan negeri mengharapkan peningkatan angka peruntukan tahun ini untuk kesejahteraan rakyat negeri ini.

“Sebenarya banyak yang kita mahukan daripada kerajaan Persekutuan (dalam Belanjawan 2019) kerana dari segi pendapatan kita tidak mampu menampung keseluruhan perbelanjaan dan untuk itu kita harap sebahagian cukai kira-kira RM500 juta dapat dikembalikan dalam bentuk pembangunan di Melaka.

“Sebagai contoh, kerajaan negeri memohon peruntukan berjumlah RM42 juta di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk pembinaan rumah untuk rakyat di mana ia melibatkan tiga pelan iaitu perumahan kos rendah dan sederhana serta pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) yang akan melibatkan kerjasama antara syarikat swasta (pelabur) dan kerajaan negeri,” katanya dalam sidang akhbar mesyuarat Exco kerajaan negeri di Seri Negeri di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Adly berkata, fokus utama kerajaan negeri daripada peruntukan dalam Belanjawan 2019 itu nanti termasuk usaha mengatasi kesesakan lalu lintas termasuk pembinaan projek penambahbaikan sistem lalu lintas sedia ada dan perancangan membina lingkaran jalan dalam dan luar di negeri ini.

Selain itu, kata beliau, tumpuan akan diberikan terhadap usaha meningkatkan dan memperluaskan kemudahan jalur lebar terutama di kawasan luar bandar dan kawasan perindustrian.

“Fokus kita menerusi Belanjawan 2019 adalah meningkatkan ekonomi kerajaan negeri, berusaha menambah pendapatan berdasarkan mana-mana ruang yang ada selain memastikan kita mempunyai peruntukan yang cukup untuk pembangunan negeri ini.

“Kerajaan negeri juga akan menstrukturkan semula pembayaran hutang kita dan paling penting, 20 keutamaan yang terdapat dalam manifesto PH ada antaranya pembinaan RMM, kemudahan infrastruktur jalan raya, pendidikan serta perkara yang melibatkan belia dan wanita demi kesejahteraan rakyat,” kata beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN