KUALA LUMPUR 1 Nov. – Proses Sulh di antara penyanyi Deja Moss dan suaminya gagal selepas lelaki berkenaan tidak hadir pada rundingan yang berlangsung di Pejabat Sulh, Mahkamah Syariah di sini hari ini.
Deja atau nama sebenarnya Sharifah Hadijah Wan Moss, 45, berkata, dia tidak mengetahui punca sebenar kegagalan bekas suaminya itu hadir ke mahkamah dan hanya dimaklumkan mengenai perkara itu selepas pihaknya membuat panggilan telefon kepada bekas suaminya, Azfendy Azzuddin, 39.
Proses sulh adalah majlis perbincangan bersama antara pihak yang terlibat dalam sesuatu pertikaian, yang melibatkan satu atau lebih tuntutan dengan dikendalikan oleh pegawai sulh.
Pasangan itu telah bercerai talak satu pada 24 Oktober lalu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.
Deja dan Azfendy berkahwin pada 30 Ogos 2008 dan tidak dikurniakan anak. – UTUSAN ONLINE











