TAIPING – Gara-gara melarikan diri dari tahanan lokap Balai Polis Taiping untuk menyambut ulang tahun hari lahir bersama kekasihnya Sabtu lalu, seorang pemasang jubin dihukum penjara selama lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Taiping di sini hari ini.
Majistret Mohd.Hairul Jemain menjatuhkan hukuman itu terhadap Pang Hung Boon, 37, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa hokkien.
Mengikut pertuduhan, Hung Boon didakwa dengan sengaja telah melepaskan diri daripada jagaan lokap Balai Polis Taiping kerana ditahan secara sah kesalahan Akta Dadah Berbahaya 1952 (Langkah-Langkah Pencegahan Khas)
Kesalahan tersebut dilakukan olehnya di lokap balai polis Taiping, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping kira-kira pukul 7.32 malam pada 27 Oktober lalu.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Raihan Rithwan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman yang ringan selain perlu menjaga bapa dan teman wanita bersama anaknya.
Bagaimanapun, Nor Raihan membantah sekiranya mahkamah menetapkan hukuman denda kerana tertuduh merupakan tahanan yang melarikan diri.
Selain itu, jelasnya, tertuduh turut mempunyai empat rekod lampau dalam tempoh masa terdekat iaitu pada 2014 hingga 2016.
Mohd. Hairul dalam keputusannya menetapkan hukuman penjara selama lapan bulan berikutan tertuduh memgemukakan alasan yang tidak munasabah.
“Tertuduh melarikan diri kerana mahu memyambut hari lahir dengan teman wanita dan alasan itu tidak munasabah sekali gus mencacatkan objektif tahanannya.
“Sebagai pengajaran dan kepentingan awam, tertuduh dihukum penjara selama lapan bulan dari tarikh tangkapan,” katanya.
Akhbar Kosmo! baru-baru ini melaporkan tertuduh yang berasal dari Taman Desa Jaya, Kamunting dekat sini melarikan diri ketika pembekal makanan tahanan lokap masuk ke dalam lokap untuk menghantar hidangan makan malam.
Ketika anggota polis bertugas membuka pintu utama untuk lelaki itu masuk, suspek telah meluru keluar dari pintu dan melarikan diri ke arah kawasan parkir bengkel kenderaan IPD Taiping.
Sebelum itu, tertuduh ditahan reman mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) bermula Jumaat lalu untuk tindakan buang daerah.
Hung Boon bagaimanapun berjaya diberkas Isnin lalu oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping sewaktu berada di tepi Jalan Medan Kamunting 2 pada pukul 4.45 pagi.
Lelaki itu ditahan ketika pihak polis melihat seorang lelaki berada dalam keadaan mencurigakan sedang menunggang sebuah motosikal jenis Honda EX5. – K! ONLINE











