KANGAR 1 Nov. – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, mahukan agar kakitangan kerajaan dan ahli perniagaan di negeri ini supaya berusaha keras menggunakan kelebihan Perlis sebagai sebuah negeri yang bersempadan dengan Thailand, untuk menarik kedatangan para pelabur.
Titah baginda, sebagaimana di Switzerland yang bersempadan dengan Jerman dan Perancis, negara tersebut mempunyai banyak tarikan kerana berjaya memanfaatkan kelebihan berkenaan.
“(Sehubungan itu) Beta mahu Perlis menawarkan lebih banyak bidang perkhidmatan supaya kita mampu setanding dengan negeri-negeri lain.
“Sebagai contoh, kita boleh menyediakan sekolah antarabangsa, untuk kemudahan ahli keluarga warga asing yang bekerja di negeri ini,” titah baginda.
Demikian titah baginda semasa berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Hospital Pakar KPJ Perlis, sebuah hospital swasta pertama di negeri ini, di sini hari ini.
Berangkat sama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Syed Omar Syarifuddin Syed Ihsan dan Presiden yang juga Pengarah Urusan KPJ, Datuk Amiruddin Abdul Satar.
Tuanku Syed Sirajuddin seterusnya menzahirkan ucapan tahniah kepada KPJ Healthcare Berhad, anak syarikat Johor Corporation, kerana telah membuka hospital mereka di negeri ini.
Titah baginda, pembukaan hospital itu bukan sahaja mampu menampung kesesakan di hospital-hospital kerajaan ketika ini, tetapi juga menawarkan peluang pekerjaan kepada anak tempatan.
“Pada masa sama, beta mahu mengambil kesempatan ini supaya hospital swasta dan kerajaan berganding menjalankan pelbagai usaha mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.
“Selalu bersenam dan melakukan aktiviti fizikal, makan makanan berkhasiat dan mendapatkan rehat yang mencukupi,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE











