Meraih peluang berada dalam industri fesyen antarabangsa, pelakon dan pengacara popular ini mengakui, dia perlu berulang alik antara Malaysia dan Eropah bagi memenuhi tuntutan kerja yang semakin bertambah.
Bercerita tentang jadual kerja dan komitmen terhadap tugasan baharunya itu, Neelofa tidak terlepas daripada ditanya mengenai kehidupan peribadi.
Tanpa berselindung, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan, ini berkongsi rasa berkenaan perkara tersebut.
Menurutnya, pengalaman menjaga anak saudara, Jebat Jayden membuatkan dia sedar bahawa dia masih belum bersedia untuk memikul tanggungjawab seorang ibu.
Bukan kerana kehadiran seorang bayi membebankan, sebaliknya Neelofa menjelaskan, komitmen terhadap kariernya yang sedang memuncak pasti memberikan cabaran yang bukan sedikit untuknya memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu.
Bagi pemilik jenama tudung terkenal Nealofar ini, perihal kahwin akan masuk dalam diari hidupnya setelah dia berjaya merealisasikan impian untuk dikenali dan setanding ikon fesyen antarabangsa yang lain.
“Sekiranya saya lapang terutama pada hujung minggu, kakak saya Nabila sering memberikan saya peluang menjaga Jebat dan memang saya sangat menyukainya.
“Ini kerana apabila ada bayi dalam dakapan, saya dapat rasakan ketenangan. Kalau kita ada masalah, seorang bayi mampu membuatkan kita rasa lapang dan lupakan seketika masalah yang dihadapi.
“Menjaga Jebat juga memberi peluang kepada saya untuk memahami bagaimana perasaan seorang ibu. Namun pada masa yang sama, turut membuatkan saya terfikir bahawa sebenarnya saya belum bersedia untuk memikul tanggungjawab rumah tangga.
“Ini kerana komitmen sebagai seorang ibu sangat tinggi dan belum sesuai untuk saya yang selalu terbang ke luar negara untuk bekerja.
“Buat masa ini, impian besar saya adalah untuk menyertai industri fesyen antarabangsa.
“Selepas saya dapat capai impian tersebut, saya rasa barulah saya mampu bersedia untuk memikirkan tentang perkahwinan dan komitmen untuk berkeluarga.
“Bagi saya, bergelar isteri dan ibu ketika saya masih sibuk dan mahu melakukan pelbagai perkara untuk kerjaya dan perniagaan saya adalah satu perkara yang sangat mencabar,” jelasnya.
Kenangan manis
Penghujung Oktober lalu, tular satu Malaysia kisah percutian mewah Neelofa di Maldives. Berpeluang menginap di dalam bilik bawah laut yang berharga ratusan ribu ringgit, gambar-gambar yang dikongsi dalam Instagram miliknya melahirkan rasa kagum warganet.
Menurut Neelofa, percutian yang ditaja oleh pihak resort berkenaan memberikan satu pengalaman yang cukup indah dalam hidupnya.
“Bermalam di dalam bilik bawah laut sememangnya sangat indah. Seperti berada dalam air tetapi dalam keadaan yang selesa. Kalau menyelam, kita perlu memakai kelengkapan dan boleh menyebabkan rasa kurang selesa.
“Berada dalam bilik itu sama seperti menyelam tetapi saya dapat bergerak bebas tanpa ada tekanan oksigen. Pada awalnya, saya agak risau juga terutama pada waktu malam.
“Namun ketakutan tersebut hilang kerana suasana bilik yang sangat cantik dengan kelengkapan yang sempurna. Saya juga ditemani adik saya, Ameera, jadi kurang sedikit rasa takut itu,” ceritanya.
Masih berlakon
Masih bercerita mengenai pencapaiannya memasuki pasaran fesyen Eropah, Neelofa menafikan bahawa dia akan terus menetap di sana hanya kerana terikat dengan kontrak.
Ujarnya, kerja seni dan perniagaan di negara ini masih menjadi keutamaan.
Pun begitu, kata Neelofa, sekiranya penerimaan di sana sangat positif, dia perlu bersedia untuk membahagi masa sebaik-baiknya bagi menyelesaikan tanggungjawab di kedua-dua buah negara.
Justeru, pelakon drama Suri Hati Mr. Pilot ini akan terus menerima tawaran lakonan yang diberikan kepadanya.
Dalam hal ini, Neelofa akui, dia bakal berdepan jadual kerja yang sangat padat namun sama sekali tidak membebankannya.
“Saya tidak akan meninggalkan karier lakonan saya di sini walaupun bakal sibuk dengan kerja di London dan Paris. Saya masih lagi mahu meneruskan perkara-perkara yang saya lakukan di Malaysia sebelum ini.
“Perniagaan dan lakonan adalah kerja yang amat penting bagi saya di sini jadi saya tidak akan melepaskannya semudah itu. Sebaliknya saya akan bekerja lebih keras untuk memastikan semuanya berjalan lancar,” ujarnya yang baru sahaja melancarkan koleksi beg tangan rekaannya sendiri, Lofarbag Mini.











