Aduan jenayah siber kanak-kanak meningkat - Utusan Malaysia

Aduan jenayah siber kanak-kanak meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tahukah anda sehingga 18 Oktober lalu, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), menerima sebanyak 357 aduan daripada pengguna berkaitan pelbagai isu termasuk melibatkan pornografi kanak-kanak dan buli siber.

Memuatkan artikel berkaitan…

CMCF, sebuah badan industri yang bertanggungjawab menyediakan Kod Kandungan di bawah lantikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), memaklumkan jumlah aduan berkaitan perkara sama dijangka lebih meningkat tahun ini memandangkan jumlah aduan tahun lalu hanya mencecah 395 aduan sehingga 31 Disember.

Hampir kebanyakan aduan yang diterima CMCF melibatkan aduan penyalahgunaan isi kandungan dalam Internet berbanding kandungan atau perkhidmatan yang ditawarkan melalui telefon pintar, kandungan penyiaran televisyen dan radio serta pengiklan.

Pengarah Eksekutifnya, Mohd. Mustaffa Fazil Mohd. Abdan berkata, aduan berkenaan diterima dalam kalangan pengguna, penggiat industri, pegawai CMCF serta pihak-pihak lain yang berasa tidak selesa dengan kandungan yang disebarkan melalui perantaraan rangkaian elektronik seperti televisyen, radio dan Internet.

Katanya, ini kerana tanpa sedar, golongan yang paling dibimbangkan adalah kanak-kanak dan remaja yang menjadi antara golongan paling mudah terkesan dengan sebarang unsur negatif dipaparkan.

Jelasnya, mereka mudah mencontohi sesuatu perkara yang didengar mahu pun dilihat tanpa disedari ibu bapa atau penjaga, yang akhirnya membawa kepada perlakuan yang lebih berisiko buruk.

“Setiap kandungan iklan dalam mana-mana rangkaian elektronik, berisiko memberi kesan kepada sesiapa sahaja yang menonton. Sama ada ia membawa kebaikan atau keburukan, bergantung kepada fahaman dan penerimaan mesej yang disampaikan.

“Justeru, untuk kandungan yang boleh dilihat atau didengar kanak-kanak, ia perlu diteliti dengan terperinci.

“Di bawah kod kandungan yang melibatkan kanak-kanak, pengamal kod haruslah memantau rapat pemilihan, kawalan bahan-bahan, perwatakan dan plot cerita, agar tidak mengandungi unsur keganasan yang boleh ditiru kanak-kanak, penggunaan animasi yang realistik terhadap mempromosikan keganasan serta menjadikan keganasan sebagai plot utama tema.

“Paparan mana-mana anggota badan kanak-kanak di bawah umur juga ditakrifkan sebagai kandungan berbentuk seksual. Sebarang bahan bertulis, visual dan persembahan audio melambangkan aktiviti seks juga adalah tidak dibenarkan sama sekali,” katanya.

Mohd. Mustaffa berkata , apa yang membimbangkan, ibu bapa yang tidak ‘hidup’ pada zaman teknologi moden ketika ini, lebih mendedahkan anak-anak mereka kepada kandungan yang tidak baik di Internet berbanding ibu bapa yang mempunyai ilmu tentang penggunaan internet.

Dalam usaha menangani bahan-bahan atau kandungan terlarang terdedah kepada kanak-kanak, ibu bapa perlu mempunyai kawalan kendiri yang kukuh dan bukannya sekadar melepaskan batok di tangga.

Jelasnya, dalang di sebalik penyebaran kandungan yang tidak wajar atau golongan penjenayah yang menumpukan golongan kanak-kanak sebagai mangsa, sentiasa mencari alternatif untuk lebih ‘dekat’ dengan mangsa mereka.

“Kadang-kadang ibu bapa menyangka apabila sesuatu kes atau isu tidak dipaparkan sebagai berita, kes jenayah berkenaan sudah tidak berlaku. Jadi, mereka mula mengambil tidak endah, walhal pemangsa sedang mengatur strategi terbaharu untuk mendekati kanak-kanak dengan pelbagai cara.

“Jika ibu bapa tidak membuat kawalan diri seperti memuat naik aplikasi keselamatan untuk menapis kandungan negatif yang boleh dilayari anak-anak, di sinilah mereka mudah terdedah,” katanya.

Tambah beliau, peranan ibu bapa dilihat mempunyai skop lebih luas berbanding kerajaan lebih terbatas dalam menyekat kandungan negatif tersebar kepada kanak-kanak.

Ibu bapa digalakkan untuk mengawal penggunaan peranti anak-anak, sama ada perlu menetapkan di mana mereka boleh melayari Internet, pada waktu bila dan jenis-jenis tontonan yang sesuai dilihat.

“Anak-anak perlu diberitahu agar tidak berkongsi gambar atau maklumat peribadi kepada umum, bimbang ada yang akan menyalahgunakan maklumat tersebut.

“Selain itu, ibu bapa juga perlu meningkatkan ilmu tentang Internet agar mampu mengetahui selok-belok dunia siber ini, sekali gus membolehkan kuasa penilaian anak-anak ketika dewasa lebih berkesan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN