PUTRAJAYA 1 Nov. – Kementerian Sumber Manusia menyasarkan laporan Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing dapat disiapkan selewat-lewatnya 30 November ini, kata Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.
Menerusi laporan itu Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran menjelaskan, input-input daripada pihak berkaitan pengurusan pekerja asing akan dikumpul oleh pihak jawatankuasa itu yang dipengerusikan oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Hishamuddin Yunus.
Jelasnya, input-input itu dikumpul menerusi pelbagai medium termasuk 13 sesi town hall yang diadakan di seluruh negara sejak 9 Oktober lalu.
“Jawatanjuasa ini ditubuhkan untuk mengkaji dan menkadangkan secara menyeluruh mengenai dasar dan pengurusan pekerja asing di Malaysia kepada kerajaan.
“Cadangan oleh jawatankuasa bebas ini diharap dapat dijadikan landasan untuk kerajaan menambah baik dan meningkatkan kecekapan pengurusan pekerja asing di Malaysia,” katanya kepada pemberira selepas menghadiri Sesi Town Hall Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Dalam pada itu, Kula Segaran berkata, kerajaan sedang mengkaji sistem levi multi tier (pelbagai lapisan) yang akan memberi kemudahan kepada pihak majikan untuk menentukan jumlah pekerja asing yang ingin digajikan mereka.
Beliau berkata, sistem yang sedang dikaji itu berprinsip ‘semakin ramai pekerja asing digajikan semakin tinggi levi yang dikenakan’.
“Dasar ini telah berjaya dilaksanakan di negara seperti Singapura yang mana kelonggaran untuk menggajikan pekerja asing dipertanggungjawabkan kepada syarikat namun elemen kawalan oleh kerajaan adalah berdasarkan levi yang dikenakan,” katanya.
Sementara itu, katanya, sistem bon pekerja asing juga dicadangkan bagi menghalang pekerja daripada lari dari majikan menerusi ikatan dengan insurans.
“Sistem ini terbukti efektif di negara jiran dan di sana kes-kes pekerja lari dari majikan adalah sangat sedikit. Jadi, Kabinet akan diberitahu tentang sistem ini selepas in,” katanya.
Berhubung Bajet 2019 yang akan dibentangkan oleh kerajaan esok, Kula Segaran berkata, terdapat berita gembira bagi golongan pekerja pada pembentangan itu termasuk berkaitan gaji minimum. – UTUSAN ONLINE











