SEMASA saya menaiki Grab ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini, pemandunya yang peramah memperkenal diri sebagai seorang pelajar di universiti tempat saya bekerja.
Saya tanya kenapa tidak ke kuliah? Dia dengan selamba menjawab bahawa sedang mempunyai masalah keluarga. Saya ingatkan dia berkahwin semasa belajar dan menghadapi masalah kewangan.
“Bukan saya puan, tapi ibu bapa saya.” Saya tidak berkata apa kerana enggan mencungkil ceritanya, tetapi dia nampaknya sangat memerlukan seseorang untuk meluahkan masalahnya.
Dia terus bercerita yang ayahnya baru meninggal dunia. Apabila arwah ayahnya meninggal, dia tidak ke kuliah kerana menemankan emak di kampung.
Menurut anak muda ini, ayahnya meninggal dunia tiga bulan lalu dalam kemalangan jalan raya. Ayahnya dua tahun lagi bakal bersara dan kedua-dua ibu bapanya adalah guru. Mereka mempunyai empat orang anak, tiga lelaki dan seorang perempuan.
Hidup mereka amat bahagia. Ibu bapa berkenalan sejak kecil, sekampung dan akhirnya belajar bersama yang berakhir dengan perkahwinan. Ayahnya sangat penyayang dan kehidupan rumah tangga mereka aman tanpa cabaran besar. Dalam tempoh perkahwinan ibu bapanya, hanya sekali ayah ditukarkan ke suatu negeri selama enam tahun.
BERMULANYA CERITA
Itulah satu-satu masa yang mereka berjauhan daripada ayah dan tiba-tiba suatu hari ayahnya meninggal dunia.
Menurut anak muda itu, ibunya tidak boleh menerima kematian ayah. Tiga minggu lepas ayah meninggal dunia, datang seorang wanita berusia awal 30-an ke rumahnya. Wanita itu membawa bersama dua anak lelaki, masing-masing berusia lapan dan empat tahun.
Ketika itu, keluarga emak masih ada di rumah mereka. Wanita itu memperkenal dirinya sebagai isteri kedua arwah ayahnya (ibu tirinya). Terlopong saya mendengar cerita anak muda ini.
Menurut anak muda ini, ibunya tidak dapat menerima kenyataan wanita tersebut. Malah ibu pengsan kerana terlalu terkejut. Anak muda itu menyambung, emak kata hatinya hancur berkecai kerana tidak menyangka ayahnya sanggup buat demikian kepadanya.
Ayahnya seorang yang dihormati di kampung mereka. Ibu bapanya tidak pernah bergaduh. Tidak mungkin ayah berkahwin lain dan mengkhianati cinta ibu mereka.
Menurutnya, wanita muda itu menunjukkan dokumen seperti sijil nikah, gambar dan bukti-bukti lain.
Wanita itu juga seorang guru. Masa melihat dokumen emak teringat yang arwah ayah pernah bekerja di sebuah negeri selama enam tahun. Mungkin masa itu ayahnya berkahwin kerana adik-adiknya itu berusia dalam lingkungan tempoh masa berkenaan.
Sekarang saya lebih memahami anak muda yang sedang memandu keretanya untuk menghantar saya ke lapangan terbang.
ISU FARAID
Saya terus bertanya perasaannya? Dia menjawab yang dia sudah boleh terima kenyataan yang ayahnya mempunyai isteri lain dan dua orang anak lagi. Tetapi emak dan adik perempuannya tidak dapat menerimanya.
Dia lantas bertanya, “saya tak arif pasal pusaka, jadi saya nak tanya puan. Adakah wanita ini berhak kepada faraid seperti emak saya dan kami?”
Saya menjawab soalannya dengan cermat untuk memberinya kefahaman.
- Apabila seseorang meninggal dunia, semua harta peninggalan hendaklah dibahagikan kepada waris mengikut hukum Islam.
- Mereka boleh membahagi harta secara sama rata melalui persetujuan, namun jika mempunyai adik beradik yang belum baligh atau cukup umur, maka harta perlu difaraidkan.
- Ibu mereka mempunyai hak menuntut harta sepencarian terlebih dahulu dan selepas itu, barulah harta dibahagi mengikut hukum syarak iaitu faraid.
- Tempoh perkahwinan tidak penting kerana jika perkahwinan sah di sisi undang-undang dan hukum syarak, semua berhak kepada harta peninggalan arwah.
Namun jelas anak muda itu: “Emak saya tak mahu bagi harta kepada isteri kedua. Bagi dia, semua harta peninggalan arwah ayah adalah milik kami sekeluarga sahaja!”
Saya faham perasaan seorang isteri yang sangat mencintai suaminya dan tidak menyangka arwah mengkhianati kasih sayang dan pengorbanannya. Dia rasa tertipu dan dalam hatinya penuh dengan rasa sesalan, benci, marah dan kecewa. Siapa yang berani memujuk dan menasihatkan bahawa suaminya yang telah pergi bertemu Allah amat memerlukan isterinya untuk mendoakannya?
PENGAJARAN
Apakah iktibar yang boleh diambil daripada cerita anak muda ini?
Bagi saya kisah suami berkahwin senyap-senyap bukan perkara baharu. Sejak diluluskan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di setiap negeri yang mewajibkan seorang lelaki yang ingin berpoligami memohon kepada mahkamah syariah dan hanya boleh berkahwin jika dibenarkan oleh mahkamah, masih ramai lelaki berpoligami secara senyap-senyap dan tidak didaftarkan.
Dari segi undang-undang, perkahwinan kedua seperti tidak wujud. Isteri kedua yang dinikahi di Thailand atau mana-mana negara luar, tidak dapat menguatkuasakan haknya sebagai isteri kerana perkahwinannya melanggar peraturan undang-undang di Malaysia.
Jika mahu diiktiraf:
1. Perlu mohon perkahwinan didaftarkan.
2. Sebelum mendaftarkannya, pejabat agama akan membuat siasatan sama ada perkahwinan dilangsungkan secara sah mengikut hukum syarak.
3. Suami akan didakwa dahulu kerana berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah Syariah dan berkahwin di luar bidang kuasa tanpa kebenaran.
4. Suami boleh dihukum denda sehingga RM1,000 atau enam bulan penjara.
Wahai suami, jika ingin berpoligami, mohonlah untuk minta kebenaran. Berkahwinlah di Malaysia dan bukan di negara luar. Daftar perkahwinan supaya isteri ada locus standi untuk menuntut haknya.
Wahai suami, berkahwinlah secara terbuka supaya tidak timbul fitnah, jangan rahsiakan perkahwinan kedua. Wahai isteri kedua, ketiga dan keempat, jika mahu berkahwin, minta bakal suami mohon kebenaran daripada Mahkamah Syariah. Pastikan perkahwinan sah dan dokumen lengkap.
Wahai isteri pertama, istighfarlah jika mendapat tahu suami telah madukan anda kerana nak marah pun, suami telah meninggal dunia. Maafkan suami. Reda walau hatimu hancur. Jangan nafikan hak isteri kedua terhadap nafkah dan harta. Berdosa memakan harta orang lain jika anak masih kecil dan belum baligh.











