WALAUPUN pernah menjadi juara sebanyak tiga kali dengan menewaskan beberapa negara ASEAN dalam pertandingan menembak, namun cabaran pada November ini lebih getir bagi Tim Menembak Tentera Darat Malaysia.
Ini kerana Tentera Darat (TD) kali ini menjadi tuan rumah ASEAN Armies Rifle Meet (AARM) dengan Melaka sebagai lokasi pertandingan.
Objektif AARM yang bermula 28 tahun lalu antara lain bagi merapatkan kerjasama dan interaksi antara pasukan tentera darat di rantau ASEAN.
Dari pertandingan yang berkonsepkan kemahiran itu, AARM juga dapat mengeratkan kerjasama setiap negara ASEAN dalam menangani permasalahan yang berkaitan keselamatan negara dan serantau.
Disebabkan pertandingan kali ke-28 itu, bahang panas kian terasa, tambahan pula sebanyak 31 penembak TD yang dipilih telah menjalankan latihan intensif selama 10 jam setiap hari termasuk hujung minggu.
Sebagai anggota tentera yang telah dilatih penuh berdisiplin, walaupun tekanan terasa kepada setiap penembak, namun latihan berterusan mereka tetap jalankan dengan dipantau oleh Pengurus Tim Menembak TD, Leftenan Kolonel Roszaini Mohamad Alide.
Tidak cukup dengan latihan 10 jam setiap hari, setiap penembak juga mempunyai cara-cara tersendiri menjalani latihan selepas pulang dari lapang sasar.
Ada yang melakukan latihan fizikal bagi menguatkan pergerakan tangan dan bermacam-macam cara lagi.
Malaysia sebagai tuan rumah diberi penghormatan kali kelima dan sudah pasti peluang yang diberi itu tidak akan disia-siakan oleh Tim Menembak TD bagi merangkul sebanyak mungkin gelaran dalam pertandingan selama 11 hari itu yang bermula 17 November ini.
Beberapa kategori akan dipertanding antaranya raifal, karbain, mesingan, pistol lelaki dan pistol wanita.
Menurut Roszaini, selain Malaysia, negara peserta termasuk Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina dan beberapa negara ASEAN lagi.
“Sebanyak 10 buah negara akan bertanding dalam AARM kali ini. Malaysia diberi penghormatan menjadi tuan rumah kali kelima,’’ katanya.
Setiap pagi di lapangan sasar, para penembak TD sejak awal lagi dilihat melakukan latihan fizikal dengan melakukan larian sebelum memulakan latihan menembak.
“Inilah rutin mereka setiap hari. Malah, melalui latihan tersebut, ia dapat mengurangkan tekanan setiap penembak.
“Kini mereka tidak sabar menanti hari pertandingan kerana setiap penembak benar-benar sudah bersedia,’’ kata Roszaini.
Sejak hari pertama latihan hingga kini, setiap perkembangan penembak TD semasa latihan dicatatkan bagi memantau kelemahan yang ada. Setiap kelemahan itu pula akan diperbaiki oleh jurulatih.
“Sehingga kini kita berjaya memperbaiki kelemahan setiap peserta dan harapan kita perkembangan itu akan dipamerkan pada hari pertandingan,’’ katanya.
Mengenai negara peserta, Roszaini berkata, Indonesia dan Thailand adalah antara negara yang bakal memberi saingan hebat memandangkan sudah beberapa kali muncul juara.
Menjadi harapan supaya setiap penembak TD tidak hilang fokus apabila tiba hari pertandingan.
“Yang penting peserta TD teruskan latihan dan memberi fokus penuh. Kita juga tidak memandang rendah kebolehan negara peserta lain,’’ katanya.
Tekad harumkan nama ATM
MINAT yang tinggi dalam profesion tentera, merupakan faktor utama setiap penembak Tim Menembak Tentera Darat (TMTD) mahu memberi saingan habis-habisan dan yang terbaik dalam pertandingan ASEAN Armies Rifle Meet (AARM) di Melaka, November ini.
Setiap penembak mahu memastikan imej TD dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada di atas sekali dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Sebab itu, para penembak terbabit sanggup menghabis waktu 10 jam setiap hari di lapangan sasar dengan berlatih dari pagi hingga ke petang.
Sarjan Yusliana Mohd. Yusof berkata, sebagai tuan rumah, adalah menjadi harapan agar dapat mengharumkan nama negara dalam pertandingan kali ini.
Yusliana yang menyertai ATM sejak tujuh tahun lalu, juga telah tujuh tahun berturut-turut menyertai AARM bagi kategori pistol wanita.
“Setiap tahun pertandingan banyak bentuk dan teknik baharu dipelajari. Peluang menjadi tuan rumah kali ini memberi kesempatan kepada saya dan rakan-rakan untuk memberi bakti kepada ATM.
“Paling penting ialah memberi fokus sepenuhnya pada masa hari pertandingan kerana pasukan dari negara lain juga memiliki kemahiran tersendiri,’’ katanya.
Bagi Kapten Sahbani Sama, pertandingan kali ke-28 ini lebih getir kerana setiap tahun peserta menembak dari negara anggota ASEAN sentiasa melakukan perubahan dalam usaha meningkatkan kebolehan serta kemahiran masing-masing.
Bagi memastikan dirinya benar-benar bersedia, Sahbani turut melakukan latihan intensif bersendirian bagi menguatkan fizikal termasuk senaman menguatkan tangan kerana ia ada kaitan dengan memegang dan menanggung berat senjata api sewaktu pertandingan.
“Setiap hari larian 3.2 kilometer dilakukan kerana stamina dan kekuatan fizikal amat penting dan sewaktu pertandingan peserta juga perlu berlari serta melakukan tembakan dalam pelbagai posisi termasuk meniarap,’’ katanya.
Sahbani yang menyertai ATM sejak 2001, telah tiga kali menyertai pertandingan menembak pada peringkat antarabangsa.
“Harapan saya dan rakan-rakan TD, kami dapat menjulang kejuaraan dalam pertandingan kali ke-28 ini,’’ katanya.











