JAKARTA – Fokus pencarian pesawat Lion Air yang terhempas Isnin lepas, hari ini bertumpu di satu koordinat yang dikesan isyarat ‘ping’ dari kotak hitam pesawat itu.
Ketua Kesiapsagaan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas), Muhamad Syaugi berkata, empat kapal yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu yang memiliki teknologi sonar, telah mengesan isyarat “ping” di koordinat sama di perairan Tanjung Karawang.
“Sejak petang semalam, operasi mengesan dilakukan tapi gagal, berlaku arus kuat di kawasan dasar laut di perairan itu,” katanya dipetik dari temubual khas bersama stesyen televisyen tempatan, Metro TV pagi ini.
Bagi operasi hari keempat hari ini, pasukan SAR telah meminta kebenaran untuk menurunkan sauh kapal di kawasan itu bagi menstabilkan kapal operasi sebelum para penyelamat menyelam ke dasar laut yang kedalamannya 30 hingga 35 meter itu.
“Kami telah meminta kebenaran daripada pihak Pertamina (Perusahaan Pertambangan Minyak dan Gas Bumi Indonesia) kerana terdapat paip-paip gas dan minyak di kawasan itu, langkah-langkah keselamatan akan diutamakan,” katanya. – Bernama











