KUALA LUMPUR 1 Nov. – Buat pertama kalinya, satu persembahan orkestra melibatkan murid-murid cilik berusia seawal tujuh tahun akan dipentaskan di Dewan Orkestra Aswara di sini pada Sabtu dan Ahad ini.
Orkestra Setiawangsa menghimpunkan murid Tahun 1 hingga Tahun 6 dari tujuh buah sekolah sekitar Kuala Lumpur di bawah penyelarasan Sekolah Kebangsaan (SK) Setiawangsa, dengan memainkan pelbagai alat muzik.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Setiawangsa, Shahpandi Abdul Manan berkata, pementasan orkestra itu melibatkan seramai 162 pemuzik di bawah seliaan konduktor, Rahimi Asmuni.
Beliau berkata, objektif pementasan orkestra itu adalah untuk memberi motivasi kepada pelajar muzik di sekolah-sekolah agar mereka terus aktif dalam bidang muzik selain akademik.
“Mereka terlibat dalam banyak pertandingan orkestra, tetapi belum pernah membuat persembahan secara besar-besaran, maka kali ini kita buat sesuatu yang luar biasa.
“Orang ramai terutama peminat orkestra dialu-alukan untuk memberi sokongan kepada kumpulan orkestra cilik ini pada Sabtu dan Ahad ini pukul 8.30 malam dengan membeli tiket untuk menyaksikan persembahan mereka,” katanya di sini hari ini.
Shahpandi berkata, hasil duit kutipan tiket itu akan digunakan untuk pembangunan kumpulan orkestra berkenaan ke arah menjadikan SK Setiawangsa sebagai pusat orkestra pelajar di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, antara lagu yang bakal dipersembahkan adalah Luluh, Kehilangan, Jampi, Love Theme, medley P.Ramlee dan Pandang-pandang jeling-jeling.
Untuk tempahan tiket orang ramai boleh menghubungi Edora di talian 012-8188525 dan Kinah, 012-6514014. Tiket berharga RM40. – UTUSAN ONLINE











