KUALA NERUS – Jabatan Perikanan meminta penternak ikan di negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang supaya menuai hasil ternakan yang diusahakan sebelum musim tengkujuh bermula.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd. Nawi berkata, langkah tersebut bagi mengelak kerugian yang lebih besar ditanggung oleh para penternak.
“Semua pegawai perikanan di peringkat negeri diarahkan untuk berjumpa dengan penternak ikan dan nelayan bagi membantu memberikan khidmat nasihat serta cadangan yang sewajarnya terhadap mereka.
“Penternak ikan juga perlu memastikan sangkar-sangkar diikat dengan sempurna serta tidak meletakkannya di laluan air yang deras bagi mengelak daripada hanyut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Program Santai Petang Komuniti Perikanan Bersama Media di Pengkalan Tok Jembal di sini semalam.
Turut hadir Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali.
Jelas Munir, pihaknya juga sentiasa memantau keadaan sangkar-sangkar milik pengusaha serta menasihati mereka supaya tidak memulakan sebarang proses penternakan ketika musim monsun.
“Langkah ini juga bertepatan dengan prosedur operasi standard bencana agromakanan yang diamalkan oleh pihak jabatan bagi membantu menyelamatkan hampir 80% ternakan melalui pelaksanaan tersebut,” ujarnya. – K! ONLINE











