KUALA LUMPUR 1 Nov. – Seorang lelaki maut dengan kesan hentakan di kepala selepas bergelut bersama seorang suspek dalam kejadian berhampiran sebuah premis menjual barangan elektrik di Jalan Genting Kelang di sini, malam tadi.
Mangsa yang merupakan gelandangan ditemukan orang ramai pukul 11.50 malam tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, ketika melakukan siasatan di lokasi, pihaknya menahan seorang lelaki dipercayai suspek yang melakukan perbuatan tersebut.
“Kita menahan suspek yang bertindak agresif di tengah-tengah jalan raya dalam keadaan berdarah tanpa berbaju dan masih keadaan khayal disyaki mabuk.
“Siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia selepas mengalami kecederaan di kepala akibat dipukul dengan tokong kecil yang digunakan untuk tujuan ibadat,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan perintah reman terhadap suspek akan dilakukan pada hari ini. -UTUSAN ONLINE











