ESOK seluruh negara akan memberi tumpuan kepada Dewan Rakyat. Buat pertama kali selepas 61 tahun, pembentangan tidak akan dilakukan oleh Barisan Nasional (BN), sebaliknya ia bakal dikemukakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mendapat mandat memerintah negara pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Selepas beberapa janji dalam manifesto PH yang menjadi sandaran kepada rakyat menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal ditunaikan, rakyat sekali lagi menaruh harapan agar Belanjawan 2019 akan mengubat kelukaan tersebut.
Persoalannya akan terbelakah nasib golongan marhaen seperti Mat Dali Saat seorang penoreh di Arau yang memperolehi pendapatan RM15 sehari atau penoreh di Jerantut, Hatun Ahmad yang hanya mampu meraih RM8 sehari akibat kejatuhan harga getah.
Bagaimana pula dengan nasib pemandu teksi yang antara mereka merintih saban hari kerana kehilangan pendapatan akibat terpaksa bersaing dengan perkhidmatan e-hailing? Apa pula keadaan kontraktor bumiputera yang sebahagian besar mereka menanti masa untuk ‘gulung tikar’ akibat penangguhan dan pemberhentian projek penyelenggaraan oleh rakyat?
Dan jangan lupa nasib peneroka Felda yang hanya mampu mengeluh berikutan kejatuhan kelapa sawit dan jeritan rakyat yang terus menanggung kos sara hidup tinggi biarpun sebelum ini mereka ‘dihidangkan dengan janji manis’ pelaksanaan SST menggantikan GST akan menurunkan harga barang.
Ini belum lagi mengambil kira desakan pelbagai pihak yang mula resah jika kerajaan melaksanakan cukai baharu bagi memperoleh pendapatan. Mereka mengharapkan Belanjawan 2019 tidak menjadikan rakyat sebagai sasaran untuk ‘dicukaikan’ ketika PH melaungkan mereka pembela sebenar rakyat.
Segalanya akan terjawab ketika Belanjawan 2019 dibentangkan esok. Diharapkan pembentangan itu tidak akan dihiasi dengan ‘kecaman basi’ terhadap kerajaan terdahulu.
Jika sebelum ini ketika berada dalam pembangkang, barisan ahli Parlimen ‘melenting’ apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir mereka semasa membentang belanjawan, maka mereka harus lebih baik lagi.
Rakyat ternanti-nanti apa yang bakal mereka nikmati dalam berhadapan dengan kos sara hidup meningkat, musim tengkujuh yang bakal menjelma, kejatuhan harga komoditi getah dan kelapa sawit serta pelbagai insentif lain demi kesejahteraan mereka di era yang diuar-uarkan Malaysia Baharu ini.
Oleh itu Belanjawan 2019 tidak harus menjadi belanjawan hambar apatah lagi belanjawan ‘tiada apa untuk rakyat’. Sebaliknya ia benar-benar harus menjadi belanjawan rakyat kerana kuasa rakyatlah yang membentuk kerajaan hari ini.
Dan sudah pastilah apabila kuasa itu diberikan, rakyat mengharapkan kehidupan mereka akan menjadi lebih baik.











