KUALA LUMPUR: Lambakan wanita warga asing yang bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) di negara ini bukan sahaja berlaku kerana salah laku penguat kuasa semata-mata, tetapi juga kegagalan bertindak tegas terhadap pemilik premis pelacuran.
Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, sarang pelacuran tidak akan wujud jika pemilik premis tidak membenarkan sebarang perniagaan yang mengaut keuntungan hasil daripada kegiatan tidak bermoral.
“Premis pelacuran yang juga dipanggil sebagai rumah persundalan ini bukannya wujud di ladang-ladang atau kampung tetapi berada di pusat bandar dan dimiliki pemilik bangunan atau premis.
“Jadi jika ada banyak premis yang disyaki sebagai pusat pelacuran dibenarkan beroperasi, di mana tindakan terhadap mereka? Akhirnya ia bergantung kepada mereka yang betul-betul ‘berminat’ untuk menangani isu itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Pada masa sama Kamal menegaskan, penyaluran maklumat yang tepat penting bagi memastikan sindiket pelacuran dapat dibanteras dengan sewajarnya.
Namun beliau memberitahu, segalanya bergantung kepada kerjasama masyarakat.
“Tidak adil untuk menyalahkan penguat kuasa Jabatan Imigresen semata-mata, sedangkan mereka sebenarnya ada juga menyekat warga asing di lapangan terbang dan mengarahkan mereka pulang ke negara masing-masing.
“Ini merupakan isu sosial, bukan tanggungjawab kerajaan dan penguat kuasa semata-mata tetapi masyarakat juga perlu memainkan peranan untuk melaporkan maklumat bagi menangani isu ini,” katanya.
Beliau mengulas kebanjiran wanita warga asing dalam pelbagai kumpulan umur belasan tahun dan bawah 40-an pelbagai bangsa dan negara untuk bekerja sebagai GRO sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab pelacuran di rantau ini.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan ramai wanita China yang menjadi GRO lolos masuk menerusi kaunter di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.
Dianggarkan lima hingga 10 kaunter khas dibuka pada satu-satu masa dengan dijaga oleh pegawai imigresen yang sudah dibayar ejen membawa masuk warga asing berkenaan.
Kegiatan membawa GRO warga China tersebut dikesan sudah berlarutan tiga tahun lalu dan terbongkar menerusi Op Selat yang dijalankan SPRM. – UTUSAN










