Biar pandai, jangan memandai - Utusan Malaysia

Biar pandai, jangan memandai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA dua perkara yang dipesan oleh penyelia tempat penulis bertugas di awal karier sebagai penyiar (penerbit rancangan/juruhebah/pengulas) di Jabatan Penyiaran (RTM) lebih 30 tahun lalu. Pertama: “Jangan jadikan sebagai tempat latihan apabila kamu bersiaran di udara.” Dan kedua: “Biar pandai, tetapi jangan memandai.” Dua pesanan ini amat berharga dan penuh makna.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pesanan itu penulis sematkan di hati sehingga hari ini. Elok juga bagi penyiar-penyiar muda menghayati dua pesanan berkenaan bagi mengelak dari terperangkap dengan kesilapan dan kesalahan yang boleh memberi kesan negatif.

Maksud “jangan jadikan sebagai tempat latihan (training ground)” ialah audien atau pendengar tidak bersedia untuk menerima sebarang alasan jika juruhebah berkenaan tersasul atau tersalah menggunakan ayat atau bahasa pertuturan semata-mata kerana baharu memulakan tugas atau berada pada gred kerja yang rendah.

Apa yang pendengar mahu ialah, tutur bicara yang jelas, celoteh yang sesuai bersama isi yang bernas dan bermanfaat selain pilihan lagu yang sesuai dan menghiburkan. Pendengar tidak peduli apa latar belakang permasalahan melingkari peribadi seseorang juruhebah, tetapi yang penting bagi mereka ialah mendapat maklumat yang berguna serta hati yang terhibur.

Kata penyelia lagi: “Kalau sering tersasul, tersalah fakta atau sebutan, terkeluar kata-kata yang sensitif, mampukah kamu menarik balik dan memohon maaf kepada berjuta pendengar? Apa akan jadi kepada kredibiliti stesen penyiaran kita?” Ertinya, apabila bersuara di udara, perlu persediaan rapi kerana waktu itu bukan lagi sebagai tempat ujikaji (trial & error). Pendengar hanya mahu yang terbaik.

Dan “jangan memandai” antara lain bermaksud, elak daripada bercakap atau mengulas sesuatu topik atau isu yang di luar kepakaran dan pengetahuan. Misalnya, bukan semua juruhebah pakar dalam bidang-bidang tertentu seperti ekonomi, agama, politik atau sosial. Oleh itu, sebarang ulasan mengenai bidang-bidang khusus berkenaan perlu beralaskan petikan dari sumber yang sahih dan meyakinkan atau sebaik-baiknya dari rakaman suara mereka yang pakar atau berauthoriti.

Juga bermaksud, petugas boleh bersikap kreatif dan inovatif dalam menerbitkan satu-satu rancangan, tetapi perlulah merujuk kepada pihak penyelia atau ketua bahagian bagi memastikan kesesuaian dan mengelak daripada timbulnya sebarang implikasi.

Bayangkan betapa pincangnya jika kedua-dua aspek ini tidak diberi perhatian oleh mana-mana sistem pemerintahan negara.

Tanpa mempedulikan alasan usia atau kaedah perkongsian kuasa bagi mana-mana parti politik yang memerintah negara, apa yang dimahukan rakyat ialah suatu sistem tadbir urus yang cekap, efisien, bertaraf profesional dan berupaya memenuhi aspirasi sebenar mereka.

Rakyat misalnya, tidak berminat mendengar pelbagai alasan bagi memaaf atau menghalalkan mana-mana pemimpin utama kerajaan yang kerap tersalah cakap tentang hukum hakam agama, tersilap sebut titik perpuluhan, terkeliru fakta dan peraturan, tersasul atau kelihatannya tidak konsisten terhadap satu-satu dasar (flip-flop) serta ada kalanya terkeluar kenyataan yang dianggap remeh dan kurang penting.

Paling membosankan rakyat apabila setiap kenyataan seseorang menteri itu boleh mencetuskan bantahan, kecaman, rasa tidak puas hati dan menimbulkan kekeliruan, lalu disusuli penjelasan semula yang kadang-kadang terkeluar daripada konteks asal.

Dan sering pula kesalahannya disangkut pada bahu wartawan yang kononnya dikatakan ‘tersalah petik’ atau tersilap faham.

Lebih malang lagi jika ada tokoh atau pemimpin yang cuba ‘memandai’ mendedahkan kepada umum tentang kedudukan sistem dan aset pertahanan negara. Sedangkan, hal berkenaan boleh memudaratkan negara.

Kalau banyak sangat perlu diperbetulkan semula sebarang kenyataan, akan timbul nanti reputasi di mana rakyat merasa kurang yakin, jadi keliru, resah dan terganggu kehidupan. Lebih jauh lagi, para pelabur asing sentiasa menilai tahap kualiti urus tadbir negara untuk menjadi daya tarikan mereka datang melabur.

Perlu ingat, setiap menteri adalah pencetus dasar. Setiap patah yang terkeluar daripada mulutnya pada premis yang formal sudah menjadi dasar, peraturan dan hala tuju kementerian (kerajaan).

Sebab itu Kabinet kerajaan tidak boleh dijadikan medan ‘latihan’ bagi urus tadbir negara. Dan jangan pula sehingga Perdana Menteri terpaksa membuat penjelasan, menegur atau menempelak barisan menteri Kabinet beliau secara terbuka apabila kenyataan seseorang menteri itu sudah menjadi polemik umum.

Jadi, tidak hairanlah kalau ada suara dari tokoh media yang menyarankan barisan menteri dan timbalan menteri perlu ‘disekolahkan’ terutama dalam aspek mengeluarkan kenyataan media atau bahan ucapan di mana-mana. Bunyinya mungkin agak kasar, tetapi terimalah cadangan itu secara jujur berlandas fakta dan keperluan.

Malaysia yang makmur dan harmoni tetap menjadi idaman semua!

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN